FAM harus tegas!

UKM FC masih boleh berbangga apabila menduduki tangga kesembilan Liga Premier musim ini. - Foto Facebook UKM FC
UKM FC masih boleh berbangga apabila menduduki tangga kesembilan Liga Premier musim ini. - Foto Facebook UKM FC
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) diharap dapat bertindak tegas dengan isu membabitkan pasukan Felda United dan UKM FC yang gagal dalam proses penswastaan masing-masing.

Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim berkata, keputusan FAM menolak permohonan Felda United dan UKM FC membuktikan kedua-dua pasukan itu tidak mempunyai ‘kelayakan’ untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

“Seharusnya tidak ada kompromi lagi terhadap mana-mana pasukan yang memang gagal memenuhi dokumen penswastaan seperti dikehendaki pihak FAM.

“Malah, faktor penolakan terhadap kedua-dua pasukan itu juga jelas bahawa mereka tidak berkemampuan dari segi kewangan yang dikhuatiri akan memberikan kesan pada masa akan datang.

“Saya juga melihat amat sukar untuk mereka mencari pelabur dalam masa terdekat. Dalam keadaan ekonomi yang agak teruk ketika ini, sukar bagi mana-mana pihak untuk melabur dalam jumlah wang yang banyak,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kelmarin, FAM memutuskan Felda United dan UKM FC gagal dalam proses penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat, sekali gus menyebabkan mereka tidak layak beraksi menyertai Liga Super atau Liga Premier anjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) musim depan.

Keputusan itu dibuat selepas FAM mendapati kedudukan kewangan pelabur baharu untuk menampung kos pengendalian kedua-dua pasukan terbabit bagi saingan Liga-M musim depan tidak cukup kukuh.

Bagaimanapun, Felda United dan UKM FC pantas memberi respons terhadap keputusan itu apabila mahu mengemukakan rayuan kepada FAM agar mereka dapat menghantar dokumen sokongan tambahan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Irfan Bakti berkata, kedua-dua pasukan berhak mengemukakan rayuan, namun FAM perlulah bertindak sewajarnya jika dokumen tersebut turut tidak memenuhi syarat yang dikemukakan.

“Memang kedua-dua pasukan berhak untuk membuat rayuan tetapi dalam hal ini sekali lagi FAM juga perlu bertegas. Jika syarat tidak dipenuhi, jangan luluskan.

“Mungkin slot tersebut boleh diberikan kepada pasukan lain yang dilihat lebih layak dan berupaya untuk beraksi dalam saingan Liga-M musim depan,” ujarnya yang mempunyai pengalaman melatih beberapa pasukan Liga-M sebelum ini.