Belanjawan 2021: PN, UMNO, PH selesai kemuka cadangan

Selain pemimpin Perikatan Nasional turut hadir hari ini di pejabat Kementerian Kewangan ialah beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH). - Foto Twitter Tengku Zafrul
Selain pemimpin Perikatan Nasional turut hadir hari ini di pejabat Kementerian Kewangan ialah beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH). - Foto Twitter Tengku Zafrul
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pimpinan Perikatan Nasional, UMNO, dan Pakatan Harapan (PH) selesai mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November ini.

Menerusi ciapan di Twitter miliknya, Tengku Zafrul memaklumkan telah mengadakan pertemuan secara maya pada 30 Oktober lalu bersama Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Darell Leiking.

"Beliau telah menyampaikan cadangan dan hasrat Belanjawan 2021 bagi pihak Warisan kepada saya dan wakil Kementerian Kewangan.

"Cadangan tersebut akan dipertimbangkan untuk Belanjawan 2021. Terima kasih atas keprihatinan dan penyertaan beliau dalam sesi libat urus ini," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul juga menzahirkan terima kasih kepada bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang meluangkan masa berbincang mengenai Belanjawan 2021.

"Syed Saddiq telah membentangkan beberapa idea daripada sudut belia termasuk penciptaan pekerjaan dan sokongan untuk akses kepada pendidikan.

"Sesi ini adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Kewangan dalam merangka Belanjawan 2021 yang fokuskan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi," katanya.

Hari ini, empat wakil UMNO diketuai Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti itu, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah selesai mengadakan pertemuan bersama Tengku Zafrul di pejabatnya.

Artikel Berkaitan:

Antara perkara yang disyorkan oleh wakil UMNO daripada keseluruhan 130 cadangan yang diberikan semasa pertemuan tersebut ialah kebenaran mengeluarkan akaun satu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium bayaran balik pinjaman secara bersasar.

Selain itu, turut hadir hari ini di pejabat Kementerian Kewangan ialah beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) iaitu Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Pengelola Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.

Sementara itu, Parti Amanah Negara (Amanah) diwakili oleh Presidennya, Mohamad Sabu dan Pengarah Strategiknya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, manakala DAP pula diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, Setiausaha Publisiti, Tony Pua, Penolong Pengarah Pendidik Politik, Dr Ong Kian Ming dan Pengarah Strategik, Liew Chin Tong.

PH kemudiannya dalam satu kenyataan bersama mengemukakan enam cadangan utama dan antara inti patinya adalah Belanjawan 2021 harus memfokuskan kepada memenuhi keperluan ekonomi rakyat Malaysia dengan mewujudkan pekerjaan kepada rakyat dan memastikan perniagaan mereka dibantu.

Terdahulu, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) turut sama menzahirkan bersedia menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat nanti.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bagaimanapun mereka perlu meneliti terlebih dahulu kandungan dalam belanjawan itu sebelum boleh berbuat demikian.

Pada 28 Oktober lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua ahli Parlimen memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Dewan Rakyat.