'Tidak selesa' jadi alasan ingkar pakai pelitup muka

Peniaga mendengar nasihat yang diberikan PDRM pada program Pematuhan dan Pemeriksaan SOP di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz hari ini.
Peniaga mendengar nasihat yang diberikan PDRM pada program Pematuhan dan Pemeriksaan SOP di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz hari ini.
A
A
A

IPOH - Tidak selesa memakai pelitup muka. Itu antara alasan yang diberikan segelintir individu yang tidak mengendahkan langkah kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan awam selain di lokasi sesak.

Perkara itu dikenal pasti melalui Program Pematuhan dan Pemeriksaan Prosedur Operasi Standard (SOP) di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini, namun Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah memberi nasihat dan penerangan kepada pengunjung berhubung kewajipan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Lee Swee Sake berkata, taman tersebut menjadi tumpuan lebih 5,000 warga Ipoh untuk beriadah dan bersantai terutama pada hujung minggu.

Swee Sake
Swee Sake

“Hasil pemeriksaan mendapati masih ada pemilik premis dan pengunjung yang belum mematuhi sepenuhnya SOP apabila tidak memakai pelitup muka dengan betul dan mengabaikan penjarakkan fizikal ketika beriadah.

“Pendekatan kita adalah memberi nasihat kepada pengunjung untuk mengikuti arahan kerajaan dengan mematuhi SOP berikutan kita semua kini adalah barisan hadapan yang bertanggungjawab mencegah penularan koronavirus (Covid-19),” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Menurutnya, tiga kompaun turut dikeluarkan oleh PDRM dan Pejabat Kesihatan Daerah Kinta untuk kesalahan individu merokok di tempat awam.

“Program ini melibatkan 50 pegawai dan anggota termasuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Artikel Berkaitan:

“Pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan setiap hari di lokasi-lokasi tumpuan awam agar orang awam dapat peka dan sama-sama mencegah pandemik ini daripada terus meningkat,” katanya.