Umum jumlah sebenar royalti minyak Kelantan: Pas

Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pas mencadangkan supaya Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan jumlah sebenar bayaran royalti minyak yang diperuntukkan kerajaan kepada Kelantan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkara tersebut antara cadangan yang dikemukakan Pas dalam pertemuan bersama Tengku Zafrul di Kementerian Kewangan hari ini untuk Belanjawan 2021.

"Antara cadangan lain adalah tumpuan khas kepada Kelantan terutama projek yang sepatutnya dimulakan sejak sekian lama seperti pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, lebuh raya Gua Musang-Kota Bharu dan dana khusus bagi meningkatkan perkhidmatan bekalan air di Kelantan," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau mewakili Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) yang menyertai rombongan beberapa ahli Parlimen Pas itu turut melontarkan pandangan membenarkan pengeluaran wang dari akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada had tertentu.

Selain itu katanya, Pas mencadangkan kerajaan memberikan tumpuan khusus untuk program upskilling terutama yang melibatkan anak muda.

"Kementerian pemegang taruh seperti KBS (Kementerian Belia dan Sukan), KSM (Kementerian Sumber Manusia) dan KPLB (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) wajar diberikan peruntukan tambahan untuk memperkasakan bidang kemahiran.

"Pembangunan usahawan digital juga perlu diperkasakan memandangkan kebanyakan syarikat yang ditubuhkan selepas wabak pandemik Covid-19 melibatkan usahawan digital.

"Pembangunan infrastruktur dan capaian internet yang menjadi isu besar di kalangan masyarakat luar bandar perlu diberi suntikan khusus memandangkan kini mahasiswa terpaksa belajar secara dalam talian," katanya.

Artikel Berkaitan: