X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Jumpa bayi dalam beg atas peti surat

Bayi perempuan yang masih hidup ditemui di dalam sebuah beg galas di Blok 47, Tingkat Paya Terubong, Georgetown tengah hari tadi.
A
A

GEORGETOWN- Seorang lelaki terkejut apabila mendapati beg galas yang ditemui di atas peti surat sebuah flat mengandungi seorang bayi perempuan yang masih hidup, tengah hari tadi.

Lelaki tersebut ternampak beg galas berwarna biru gelap itu ketika melalui peti surat di Blok 47, Tingkat Paya Terubong, di sini pada jam 12.40 tengah hari.

Dia yang curiga dengan kandungan beg untuk mendaki tersebut, telah memeriksanya lalu ternampak kepala bayi yang bergerak-gerak.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan mendapati bayi seberat 3.2 kilogram itu masih hidup dan dibalut dengan tuala berwarna putih.

Menurutnya, tali pusat bayi tersebut telah dipotong dan tiada dokumen lain dijumpai dalam beg tersebut.

"Hasil pemeriksaan awal pembantu perubatan, bayi tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan cukup sifat.

"Bayi tersebut dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi petang ini.

Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) selain tiada saksi yang ternampak kejadian tersebut.

Beg galas yang diletakkan di atas peti surat di Blok 47, Tingkat Paya Terubong, Georgetown tengahari tadi.
Beg galas yang diletakkan di atas peti surat di Blok 47, Tingkat Paya Terubong, Georgetown tengahari tadi.

"Kita telah mengambil keterangan saksi selain menyemak dengan hospital dan klinik berhubung kelahiran bayi dalam tempoh terdekat.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti mereka yang terlibat," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang dikenali sebagai Azira berkata, kejadian itu disedari salah seorang penghuni di situ selepas ternampak satu objek bergerak di dalam beg selain bahagian kepalanya terjulur keluar.

"Sebaik menghampiri beg terbabit didapati bayi itu dalam keadaan masih bernyawa. Bayi yang masih bertali pusat itu berada dalam keadaan kesejukan dan badannya masih basah seperti baru dilahirkan.

"Penduduk kemudiannya terus memberinya susu dan memakaikannya lampin pakai buang serta baju sebelum diserahkan kepada polis," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!