PKPD di Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu bermula 3 hingga 16 Nov

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu, Sabah bermula 3 hingga 16 November.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu bagi menyekat penularan Covid-19 dalam kalangan tahanan dan kakitangan pusat tahanan tersebut.

Katanya, setakat 30 Oktober, seramai 261 tahanan serta kakitangan telah disaring dan seramai 56 orang tahanan didapati positif Covid-19.

“PKPD ini akan melibatkan seramai 1,820 orang tahanan dan 114 orang kakitangan pusat tahanan tersebut.

“Dengan pelaksanaan PKPD ini, semua aktiviti keluar masuk ke kawasan pusat tahanan serta lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju untuk menamatkan PKPD Penjara Alor Setar, Kedah, mulai esok, 2 November.

Katanya, saringan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga 1 November mendapati tiada lagi kes positif Covid-19 direkodkan dalam tempoh tujuh hari terkini.

Mengenai penguatkuasaan pematuhan PKPP, Ismail Sabri memaklumkan, seramai 485 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan perintah itu semalam.

Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk tidak memakai pelitup muka (162), penjarakkan fizikal (123), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (79), aktiviti pusat hiburan (25), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (13) dan lain-lain (83).

Mengulas mengenai Operasi Benteng bagi mengawal sempadan negara daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin selain membendung penularan wabak Covid-19, beliau berkata, seramai 41 warga asing serta empat kenderaan darat berjaya dirampas semalam. - Bernama