Kerajaan NS wujud Pusat Transit Gelandangan pertama

Kerajaan Negeri Sembilan bekerjasama dengan sebuah NGO bagi pengoperasian Pusat Transit Gelandangan yang memerlukan anggaran kos berjumlah RM600,000 dan dijangka beroperasi selewat-lewatnya awal tahun depan. Gambar hiasan.
Kerajaan Negeri Sembilan bekerjasama dengan sebuah NGO bagi pengoperasian Pusat Transit Gelandangan yang memerlukan anggaran kos berjumlah RM600,000 dan dijangka beroperasi selewat-lewatnya awal tahun depan. Gambar hiasan.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan bakal mewujudkan sebuah Pusat Transit Gelandangan yang pertama di negeri itu bagi memberi perlindungan sementara kepada individu yang tidak mempunyai tempat tinggal.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, pusat transit yang bakal memuatkan 50 gelandangan pada satu-satu masa itu dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya awal tahun depan.

“Pada masa ini, kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi pengoperasian pusat berkenaan yang memerlukan anggaran kos berjumlah RM600,000.

“Kami juga melihat isu ini perlu diselesaikan segera memandangkan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda negara ketika ini dikhuatiri mungkin akan menjangkiti mereka selain mengelakkan mereka berkeliaran di mana-mana kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat tinjauan Kempen Derma Darah di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak dua unit rumah banglo dua tingkat akan digunakan bagi menempatkan gelandangan di sebuah lokasi di Seremban dengan segala pengurusan berkaitan pusat itu akan ditanggung kerajaan negeri.

"Peruntukan bagi urusan pusat berkenaan akan dibahaskan dalam sidang pembentangan Belanjawan Kerajaan Negeri Sembilan akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Nicole berharap, semua ketua rumah ibadat di negeri ini berganding bahu dengan kerajaan negeri dalam memberi sokongan rohani dan mental kepada gelandangan di pusat transit itu pada masa hadapan. - Bernama

Artikel Berkaitan: