Wasiyyah perkenal amanah keluarga Al Mutahabbah

Ariffin Sabirin
Ariffin Sabirin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Wasiyyah Shoppe Berhad, syarikat amanah patuh syariah terbesar di Malaysia dari segi aset pelanggan yang bakal diuruskan selepas kematian, mengumumkan pelancaran semula perkhidmatan amanah keluarganya yang dinamakan Al Mutahabbah kepada umat Islam di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad, Ariffin Sabirin berkata, perkhidmatan itu mula diperkenalkanpada 2018 namun dengan perkembangan semasa, ia diperkemaskan lagi dengan pengenalan beberapa ciri yang lebih menarik dan fleksibel namun lebih berkuatkuasa dari segi undang-undang.

Beliau berkata, peranan dan tanggungjawab Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai syarikat amanah yang diberi kuasa melalui Akta Pemegang Amanah 1949, juga digunakan sepenuhnya bagi menjayakan modul perkhidmatan Al Mutahabbah.

"Al Mutahabbah ialah perkhidmatan bersifat hibrid yang dibangunkan Wasiyyah Shoppe Berhad khusus untuk segmen pasaran yang bukan sahaja mahukan hartanya diagihkan kepada pihak yang dikehendaki, malah segmen pasaran ini juga inginkan sebahagian harta mereka diurus dan dilaburkan secara profesional," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ariffin berkata, perkhidmatan Al Mutahabbah ini menggabungkan unsur perancangan harta mengikut undang-undang syariah, undang-undang sivil dan metodologi pengurusan harta kontemporari dan profesional berlandaskan undang-undang berkenaan.

“Kami dapat melihat segmen pasaran ini berkembang dengan drastik semenjak beberapa tahun kebelakangan ini. Kalau dahulu tidak ramai orang Islam yang faham tentang perkhidmatan seperti ini, kini mereka mulai terbuka untuk melihat peluang bagaimana harta mereka boleh dilabur dan dikembangkan supaya memberi manfaat kepada generasi mereka pada masa akan datang.

"Mereka juga mahu supaya hasil harta ini boleh digunakan bagi tujuan amal jariah berpanjangan selepas mereka meninggal dunia," katanya.

Tambahnya lagi, metodologi kebanyakan pemain pasaran di Malaysia ketika ini masih lagi mengenai bagaimana harta pelanggan diagihkan mengikut instrumen seperti hibah, wasiat, harta sepencarian atau amanah.

"Wasiyyah Shoppe Berhad mengorak langkah berani dengan memenuhi keperluan unik segmen pasaran ini yang belum diterokai oleh mana-mana pihak di Malaysia sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ariffin lagi, kaedah amanah keluarga ini telah banyak diamalkan di negara-negara maju namun masih sangat baru di Malaysia dan Wasiyyah Shoppe Berhad beraspirasi untuk mewujudkan budaya amanah keluarga ini di Malaysia sepertimana kejayaannya memperkenalkan budaya hibah di Malaysia semenjak 2004.

"Kebiasaannya hubungan waris-waris mulai renggang apabila mereka telah menerima bahagian masing-masing dari harta pusaka yang ditinggalkan.

"Kebaikan utama Al Mutahabbah Wasiyyah Shoppe Berhad ialah waris-waris akan kekal mempunyai hubungan yang rapat dan baik selepas kematian ibu atau bapa kerana mereka perlu kerap berjumpa dan bermesyuarat bagi melaksanakan tanggungjawab bersama yang telah ditetapkan oleh ibu bapa mereka dalam dalam hal berkaitan pengurusan harta yang ditinggalkan," katanya.

Bagi tahun kewangannya yang bakal berakhir pada Jun 2021, Wasiyyah Shoppe mensasarkan 2 peratus daripada pendapatan tahunannya akan datang melalui hasil jualan perkhidmatan ini.