X

Kindly register in order to view this article
!

Perak sokong boikot barangan Perancis

Mohd Akmal (kiri) dan Mohd Yusop (dua dari kiri) bersama barisan penerima sijil penghargaan atas sumbangan mereka sebagai pendakwah lapangan pada program Ijtimak Perkaderan Dakwah Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, Ipoh hari ini.
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menyokong seruan supaya orang Islam memboikot produk Perancis sebagai respons terhadap kenyataan Presiden negara itu, Emmanuel Macron mengenai Islam.

Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, tindakan itu sebagai pengajaran terhadap pemimpin dan rakyat negara terbabit bahawa apa yang dilakukan mereka adalah salah.

"Kita bukan nak boikot saja-saja, dengan cara boikot ini, ia mampu melumpuhkan ekonomi mereka dan akhirnya akan menyedarkan bahawa tindakan mereka itu tidak betul.

"Jadi kita seru masyarakat di negeri ini supaya lebih mengutamakan produk tempatan dan tidak membeli barangan keluaran Perancis di atas perbuatan biadab mereka sehinggalah mereka terkesan dengan apa yang kita lakukan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Ijtimak Perkaderan Dakwah Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina Meru di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Mohd Akmal berkata, tindakan boikot itu bukan menyokong insiden pembunuhan guru lelaki yang menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW daripada sebuah majalah kontroversi, Charlie Hebdo di Paris baru-baru ini.

Sebaliknya kata beliau, gesaan itu sebagai memberi mesej kepada Perancis terhadap penghinaan Islam yang dilakukan Presiden negara itu.

"Insya-ALLAH, apabila mereka kembali kepada jalan benar iaitu memperbaiki semula hubungan dengan masyarakat Islam dan menolak penghinaan nabi, maka kita akan perbaiki semula hubungan kita dengan negara Perancis,” katanya.

Terdahulu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mencetuskan kemarahan dunia Islam susulan kenyataan terbukanya mengenai hak untuk menyiarkan karikatur Nabi Muhammad SAW yang dianggap sebagai menghina Islam.

Dalam perkembangan lain, Mohd Akmal berkata, kerajaan negeri bercadang untuk menaikkan kadar elaun guru agama dakwah daripada RM400 kepada RM900 sebulan.

Menurutnya, kenaikan itu selari dengan beban tugas mereka yang semakin mencabar apatah lagi tiada sebarang kenaikan elaun berlaku sejak lebih 10 tahun lalu.

"Mereka ini menjadi ejen kepada JAIPk dan kerajaan negeri untuk turun menjalankan aktiviti dakwah di lapangan.

"Saya kira sudah berbelas tahun dah elaun ini masih pada kadar lama RM400, dengan kerja mereka yang cukup banyak, jadi sesuailah dinaikkan kepada RM900.

"Cuma kita akan sembah maklum terlebih dahulu kepada Kebawah Duli Sultan Perak untuk mendapat perkenan," katanya.

Beliau berkata, sekiranya diperkenan, kadar kenaikan elaun baharu itu akan dilaksanakan pada 1 Januari depan dengan hampir 100 guru agama dakwah seluruh negeri mendapat manfaat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!