X

Kindly register in order to view this article
!

12 ditahan libat rampasan dadah RM822,000

Zainuddin (tengah) menunjukkan ganja yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.
A
A

GEORGETOWN - Polis menumpaskan sindiket pengedaran ganja dari Thailand selepas menahan 12 individu melibatkan rampasan 309 kilogram (kg) ganja serta 495 gram syabu bernilai RM822,000 dalam beberapa serbuan serentak di Pulau Pinang, Kedah dan Perak melalui operasi dua hari bermula 27 Oktober lalu.

Kesemua suspek ditahan melalui serbuan bermula jam 9.15 malam, melibatkan penahanan 10 lelaki tempatan, seorang lelaki warga Thailand dan seorang wanita tempatan yang kesemua berusia lingkungan 22 hingga 46 tahun.

Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi) JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, sindiket tersebut bergiat aktif di sekitar Pulau Pinang, Perak dan Lembah Klang sejak beberapa tahun lalu dengan bekalan ganja diperoleh dari Thailand melalui jalan laut.

"Dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki warga Thailand yang memandu sebuah Toyota Velfire di kawasan Bagan Nyiur, Juru dan merampas 15 bungkusan mengandungi 313 ketulan mampat disyaki ganja seberat 309kg.

"Lelaki tersebut merupakan pemilik restoran tomyam di sini dan tinggal di Malaysia sejak lima tahun lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Tambahnya, serbuan kedua di sebuah rumah di Taiping, Perak, seorang lelaki serta wanita warga tempatan ditahan dan sebanyak 495 gram syabu dirampas selain 15 buah kenderaan pelbagai jenis antaranya BMW, Honda Civic, Mazda CX5, Honda HRV dan Isuzu DMax bernilai keseluruhan RM1.5 juta turut disita.

Katanya, turut dirampas wang tunai bernilai RM65,090 dan sebentuk cincin emas.

"Siasatan awal mendapati, sindiket ini mempunyai rangkaian pengedaran antarabangsa. Mereka dipercayai membawa masuk dadah melalui jalan laut dengan menggunakan bot fiber atau nelayan dari Satun, Thailand ke Pulau Pinang atau Kedah.

Beliau berkata, susulan penahanan itu, polis menahan sembilan lagi ahli sindiket di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Kupang, Kedah.

"Ketika serbuan di sebuah rumah di SPT, seorang daripada lelaki yang ditahan berusia 40-an mengalami serangan jantung. Dia kemudiannya dihantar ke hospital di Bukit Mertajam namun disahkan meninggal dunia sejam selepas menerima rawatan.

"Suspek yang tidak bekerja itu disyaki sebagai antara individu penting dalam sindiket tersebut. Ketua sindiket merupakan lelaki tempatan berusia 40-an turut ditahan dalam siri serbuan itu," katanya.

Zainuddin berkata, empat daripada suspek positif methamphetamine manakala dua lagi positif ganja.

"Lapan daripada mereka mempunyai pelbagai rekod jenayah serta dadah. Kebanyakan suspek tidak bekerja dan hidup mewah dengan hasil pengedaran dadah.

"Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan mengambil kesempatan musim menuai di Thailand ketika ini. Mereka akan memproses dadah itu sebelum menyeludup keluar bersama beras yang telah siap diproses bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Tambahnya, semua dadah tersebut mampu dibekalkan kepada 31,390 penagih jika terlepas di pasaran.

"Kesemua mereka direman tiga hingga tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!