Laluan mudah buat JDT, ranjau berduri menanti Kedah, Pahang

Juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat laluan mudah ke suku akhir apabila diundi menentang pendatang baharu, Kuching FA pada pusingan pertama saingan itu yang akan bermula 6 November ini. - Foto FB Johor Souther Tigers
Juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat laluan mudah ke suku akhir apabila diundi menentang pendatang baharu, Kuching FA pada pusingan pertama saingan itu yang akan bermula 6 November ini. - Foto FB Johor Souther Tigers
A
A
A

JUARA bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat laluan mudah ke suku akhir apabila diundi menentang pendatang baharu, Kuching FA pada pusingan pertama saingan itu yang akan bermula 6 November ini.

Skuad Harimau Selatan dijangka menurunkan pemain barisan kedua kerana pasukan utama akan berlepas ke Doha, Qatar untuk menghadapi pusingan zon timur Liga Juara-juara Konfederasi Bola Sepak Asia dari 18 November hingga 13 Disember ini.

Jika mara ke suku akhir, JDT selaku juara edisi 2017 dan 2019 itu akan bertemu Kuala Lumpur yang mendapat kemenangan percuma selepas diundi menentang Sabah yang terpaksa melupakan saingan Piala Malaysia kali ini kerana tidak mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan hingga 9 November ini.

Bagaimanapun, pertemuan paling sengit pada pusingan pertama dijangka melibatkan aksi juara lima kali Kedah dan juara empat kali Pahang.

Seterusnya, pemenang aksi itu akan sekali lagi menghadapi laluan berliku apabila terpaksa bertemu pemenang di antara juara 33 kali Selangor dan Melaka yang masih memburu gelaran pertama.

Majlis undian yang diadakan secara tertutup dan disiarkan secara langsung di Facebook Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dan Ahli Lembaga Pengarahnya Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Undian itu turut menyaksikan juara lapan kali Perak menerima kunjungan Kelantan United FC, manakala juara Liga Premier 2020 dan juara empat kali Pulau Pinang berdepan Felda United FC yang bakal beraksi dalam saingan terakhir Liga Malaysia selepas gagal mendapatkan Lesen Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi musim 2021.

Juara 2001 Terengganu FC pula akan berdepan Petaling Jaya (PJ) City FC sementara UiTM FC diundi bertemu Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Pusingan pertama dijadualkan berlangsung dari 6 hingga 8 November, diikuti suku akhir (12 dan 13 November), separuh akhir (17 November) dan final pada 22 November.

Saingan kejohanan bola sepak tertua di Asia itu terpaksa dipendekkan menerusi format kalah mati tanpa melibatkan perlawanan peringkat kumpulan dan aksi timbal balik pada musim ini susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

Sebanyak 11 pasukan teratas Liga Super dan lima pasukan teratas Liga Premier (tidak termasuk pasukan ‘reserve’) layak beraksi pada Piala Malaysia musim ini.

Senarai penuh undian pusingan pertama Piala Malaysia 2020

1. Pulau Pinang lwn Felda United FC

2. UiTM FC lwn Kelantan

3. JDT lwn Kuching FA

4. Kuala Lumpur – mendapat ‘bye’

5. Terengganu FC lwn PJ City FC

6. Perak lwn Kelantan United FC

7. Kedah lwn Pahang

8. Selangor lwn Melaka