X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

Beri alasan tak masuk akal mahu rentas negeri

Polis IPD Putrajaya mengingatkan warga Putrajaya untuk patuh SOP PKPB yang telah dikuatkuasakan sejak 14 Oktober lalu.
A
A

PUTRAJAYA - Mahu menghadiri jamuan hari jadi serta hendak menghantar haiwan peliharaan menjadi sebab utama permohonan rentas negeri dan daerah ditolak.

Itu antara alasan permohonan rentas negeri yang diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan pada 14 Oktober hingga kelmarin.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, sepanjang tempoh itu, pihaknya telah menerima 4,700 permohonan manakala 53 daripadanya telah ditolak atas pelbagai alasan.

"Antara alasan tidak masuk akal adalah saja berjalan-jalan, bosan duduk di rumah, hendak bermain golf, pergi berjumpa kawan, ingin menghadiri jamuan hari jadi, hendak menghantar haiwan peliharaan untuk disimpan di hotel haiwan (pet boarding), memancing dan beriadah.

"Selain itu, terdapat juga permohonan yang kami terima untuk menaiki kenderaan persendirian melebihi dua orang dan permohonan seperti ini terpaksa kami tolak kerana ia jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB yang sedang dikuatkuasakan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Dalam pada itu, bagi tempoh berkenaan, sebanyak 61 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melanggar SOP PKPB seperti tidak memakai pelitup muka, mengabaikan penjarakkan fizikal, menaiki kenderaan persendirian melebihi dua orang selain premis yang tidak menyediakan alat pemeriksaan suhu.

Sekatan jalan raya yang dilaksanakan Polis IPD Putrajaya.
Sekatan jalan raya yang dilaksanakan Polis IPD Putrajaya.

Katanya, selain itu, terdapat juga kompaun yang dikeluarkan atas kesalahan pemilik dobi membuka premis lebih masa daripada yang telah ditetapkan.

Tambah Mohd Fadzil, lima warga asing turut ditahan kerana ingkar PKPB.

Justeru, penuntut warga asing khususnya diingatkan agar tidak mengambil kesempatan yang ada dalam tempoh PKPB ini untuk keluar bersiar-siar atau melakukan aktiviti di kawasan Putrajaya.

"Saya juga memberi amaran kepada syarikat-syarikat yang menggunakan bas pekerja untuk menghantar pekerja asing ke lokasi di sekitar kawasan Putrajaya agar sentiasa mematuhi SOP PKPB iaitu tidak membawa penumpang terlalu ramai dan amalkan penjarakan fizikal.

"Malah, semua warga Putrajaya khususnya, adalah penting untuk terus kekal berada di rumah dan tidak perlu keluar jika tiada keperluan mendesak sebagai langkah untuk memutuskan wabak pandemik Covid-19," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!