Hilang daya penglihatan, hanya mampu mendengar

Dzulkarnain menyerahkan sumbangan kepada Sulaiman.
A
A

MERSING - Seorang veteran angkatan tentera Malaysia (ATM) yang hilang daya penglihatan dan hanya mampu mendengar serta bercakap sahaja antara yang dikunjungi sempena ziarah dilakukan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM di sini.

Sulaiman Shupi, 54, menetap di Taman Seri Daik merupakan penghidap penyakit kencing manis yang mana turut mengakibatkan kakinya dipotong pada 2016.

Bapa kepada enam anak itu kini dijaga isteri serta dua anak yang masih tinggal bersama.

Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, program lawatan itu bertujuan untuk menyerahkan bantuan peralatan pesakit kepada veteran ATM yang uzur.

“Diharap dengan bantuan penyerahan katil pesakit dan kerusi roda akan memudahkan penjagaan dan pergerakan beliau.

“Terdapat beberapa veteran lagi yang kita lawati sempena lawatan ini iaitu Roslan Hassan dari Taman Intan Jaya yang mengalami kemalangan motosikal hingga menyebabkan kaki beliau terpaksa dipotong.

“Seterusnya ke rumah Yunus Abdul Majid, 87, yang uzur mengalami sakit tua serta kurang pendengaran. Beliau tinggal di Kampung Sawah Dato bersama isteri dan dijaga oleh anak yang tinggal berhampiran,” katanya.

Dalam lawatan sama turut diadakan penyerahan bantuan peralatan pesakit berupa sebuah kerusi roda kepada Muhammad Zakaria di Balai Serbaguna Taman Sri Mersing.

Muhammad Zakaria kehilangan kaki kanan berpunca darah beku di dalam kaki akibat sakit gout yang dialaminya.