Pantai Bisikan Bayu berubah wajah

Orang ramai memenuhi Pantai Bisikan Bayu untuk beriadah dan berkelah.
Orang ramai memenuhi Pantai Bisikan Bayu untuk beriadah dan berkelah.
A
A
A

PASIR PUTEH - Pantai Bisikan Bayu, Semerak yang sebelum ini dipenuhi sampah bertukar wajah apabila Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) melaksanakan penambahbaikan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menyediakan kemudahan baharu seperti taman permainan, pondok rehat, lukisan mural dan yang paling utama tahap kebersihan semakin baik.

Justeru kini, pusat peranginan berkenaan yang sebelum ini sepi dan mendapat jolokan 'berkelah dalam sampah' sudah mula menerima ramai pengunjung.

Tinjauan Sinar Harian mendapati Pantai Bisikan Bayu kini turut dilengkapi dengan kemudahan permainan lain seperti kenderaan lasak pelbagai permukaan (ATV), aktiviti berkuda dan gerai-gerai jualan sekali gus mengembalikan semula imej kawasan ini yang pernah popular pada era 80-an dahulu.

Wan Hassan (kanan) turun padang bertanya khabar pengunjung mengenai kemudahan yang disediakan.
Wan Hassan (kanan) turun padang bertanya khabar pengunjung mengenai kemudahan yang disediakan.

Seorang peniaga, Razlan Ab Rashid, 35, mengakui wajah baru Pantai Bisikan Bayu menarik lebih ramai pengunjung dan membantu meningkatkan pendapatan peniaga.

"Kawasan ini mula menjadi perhatian dan peningkatan jumlah pengunjung pada hujung minggu serta cuti umum," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, sebanyak RM100,000 diperuntukkan oleh kerajaan menerusi MDPP untuk menaik taraf kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerja-kerja menaik taraf itu merangkumi pembinaan infrastruktur menjadikan kawasan berkenaan lebih menarik.

"Selain itu, saya juga akan memohon kerajaan negeri menaik taraf laluan dari Pantai Bisikan Bayu ke Kampung Pachakan sejauh dua kilometer," katanya.

Kemudahan ATV dan kuda turut menanti pengunjung.
Kemudahan ATV dan kuda turut menanti pengunjung.

Beliau berkata, kerja-kerja itu dijangka menaikkan lagi potensi kawasan ini untuk menjadi destinasi baharu pelancongan di Kelantan.

Wan Hassan berharap orang ramai memberikan kerjasama dengan menjaga kebersihan di kawasan tersebut.

Sinar Harian 9 Februari lalu melaporkan timbunan sampah sarap yang tidak diurus dengan baik selain sikap kurang cakna pengunjung menjadikan kawasan Pantai Bisikan Bayu, Semerak kotor.

Persekitaran pantai itu yang diuar-uarkan antara destinasi menarik sempena Tahun Melawat Kelantan 2020 (TMK 2020).