Menjejaki keturunan Raja Reman

Wan Shuhaimi Wan Abdullah menunjukkan gambar Tuan Man (atas) dan Tuan Lebeh, Raja Terakhir (bawah kiri). Ahli sejarah Reman ini dilahirkan di Rumah Selarong.
Wan Shuhaimi Wan Abdullah menunjukkan gambar Tuan Man (atas) dan Tuan Lebeh, Raja Terakhir (bawah kiri). Ahli sejarah Reman ini dilahirkan di Rumah Selarong.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] TENGKU Kaifimirza bin Tuan Cherit. Penulis bertemu watak ini pada Julai 2019. Asal mana? “Penang... dekat Masjid Kapitan Keling”. Tengku Penang? Bapa nama ‘Tuan’?

Jawapannya ada di Selarong, suatu sudut istimewa di Pengkalan Hulu, Hulu Perak yang turut dikenali sebagai Hulu Patani. Kedudukannya terletak sempadan Perak dan Thailand.

“Kalau tanya orang sini, rata-rata akan kata mereka orang (keturunan) Patani atau Reman,” kata Wan Shuhaimi Wan Abdullah yang dilahirkan pada 1961 di Istana Hinggap Raja Reman di Selarong. Istana Hinggap atau Rumah Selarong itu masih berdiri gagah dan menjadi tumpuan sanak saudara keturunan Raja Reman. Kenapa namanya Reman?

Sehingga kira-kira 250 tahun lalu, Patani ialah sebuah negeri merdeka yang makmur di bawah pemerintahan empat puteri Dinasti Wangsa. Perubahan besar berlaku setelah British mula bertapak di Pulau Pinang.

Pertamanya, kuasa penjajah itu mengintai bijih timah di kawasan Hulu Perak. Penjajah Belanda sampai terlebih dulu di kawasan itu lantas memeterai perjanjian dengan Perak pada 1756. Kedua, kerajaan Thai di Bangkok pula mahu menguasai wilayah Patani di selatan. Ketiga, seorang pembesar di kawasan yang meliputi Yala dan Hulu Perak, Tuan Tok Nik Tok Leh, mengisytiharkan wilayah itu merdeka sekitar tahun 1780-an.

Tuan Tok Nik yang juga dikenali sebagai Tuan Mansor menjadi Raja negeri yang diberi nama Reman. Walaupun negeri yang terkurung di darat (landloc ked), Reman mempunyai kekuatan ekonomi melalui perlombongan bijih timah. Bandar sempadan Thailand, Betong, ketika itu berada dalam negeri Reman.

Srikandi Reman

Juga, selama kira-kira 100 tahun sehingga 1902, pihak Thai telah mengamalkan tindakan pecah-perintah Patani yang dibahagikan kepada tujuh negeri termasuk Reman. Tok Nik yang terlebih dahulu mengisytiharkan kemerdekaan Reman dikekalkan sebagai Raja Reman semasa pihak Thai melantik Raja-Raja untuk enam negeri lain sekitar tahun 1810.

Artikel Berkaitan:

Tengku Kaifi ialah cicit Raja Reman terakhir iaitu Tuan Lebeh. Foto Raja berpakaian diraja Reman menghiasi dinding Rumah Selarong di Pengkalan Hulu. Apabila meninggal dunia, jenazah Tuan Lebeh tidak ditemui. Beliau menaiki takhta tahun 1899 dalam suasana geopolitik getir. Beliau serta ibunya, Raja Perempuan Che Neng meninggalkan ibu negeri Reman, Kota Baru (Yala), dan berpangkalan di Selarong.

Ketika itu sudah ada bayangan British dan Reman mahu memulakan kerjasama.

Apa pun, pihak Thai mengambil Tuan Lebeh dari Rumah Selarong untuk dibicarakan di Songkhla, yang dulunya dikenali sebagai Singgora. Tuan Lebeh dituduh mencetuskan pemberontakan. Dari Songkhla, Raja Reman dikatakan dibawa belayar ke Bangkok. Kapal itu karam. Alkisah, semasa hayat beliau, Tuan Lebeh juga dikenali sebagai Raja Muda Bangkok.

Cerita lisan pertama untuk artikel ini datang daripada ibu Tengku Kaifi, Sharifah Azizah Syed Mohsin Alatas, yang berhijrah ke Pulau Pinang dari Medan pada tahun 1968. Beliau masih bercakap lenggok bahasa Indonesia. Bagaimana Sharifah Azizah bertemu jodoh dengan Tuan Cherik @ Tengku Hamzah, anak Tuan Man bin Tuan Lebeh? Tuan Man, anak Raja Reman terakhir, mengenali Datuk Syed Murtaza Aidid di Pulau Pinang yang menemukan keluarga dari dua wilayah yang asing ketika itu. Isteri pertama Tuan Cherit bernama Sharifah Mahani.

Motif Gajah di Pedang Diraja Reman.
Motif Gajah di Pedang Diraja Reman.

“Semasa saya dibawa ke Rumah Selarong setelah berkahwin, tiba-tiba ada gajah putih muncul di laman Rumah Selarong,” kata Sharifah Azizah. Unsur gajah merupakan simbolik dalam kerajaan dan kehidupan Reman. Buktinya,ukiran gajah pada pedang diraja dan lambang gajah pada bendera Reman.

Sempadan Reman/Perak kemudian berubah seiring geopolitik semasa. Pegawai Inggeris, W.E. Maxwell yang mencatat A Journey on Foot to the Pattani Frontier in 1876 bagi menjejaki Dato’ Maharaja Lela setelah peristiwa pembunuhan J.W.W Birch, ada bertemu Tuan Perang di Kerunai, kira-kira 38 kilometer dari Pengkalan Hulu. Isteri Tuan Perang ialah Tok Nik Labu, adik Raja Reman.

Tok Nik Labu beberapa kali meninjau pentadbiran British di Kuala Kangsar dan dibawa melawat projek kereta api Taiping-Port Weld.

“Semacam ada kecenderungan ketika itu untuk Reman ke arah bernaung di bawah British,” kata Wan Shuhaimi.

Maxwell ingin bertemu Raja Reman, tapi pembesar negeri bingkas menolak hasrat itu. Emphatically,” kata Maxwell.

Bijih timah

Di dalam sebuah laci di Selarong, ada tersimpan dokumen lama termasuk minit-minit mesyuarat The Raja Perempuan of Rahman Mining Co. Ltd. Raja Perempuan Che Neng ialah isteri Raja Reman, Tuan Jagung. Selepas kematian Raja dan Tok Nik Labu, Raja Perempuan Che Neng mengambil alih tugas menyelia aktiviti perlombongan. Pihak Thai membasmi kesemua tujuh negeri Patani pada 1902. Raja Perempuan Che Neng terus tinggal di Selarong.

Pada bulan September baru-baru ini penulis menemani Wan Shuhaimi dan Tengku Kaifi menziarahi Makam Raja Perempuan Che Neng yang meninggal dunia pada 1915.

Kami bercadang ke Kota Bharu, antaranya bagi menemui Tuan Abdullah bin Tuan Putih Dato’Mulia yang pernah melawat Rumah Selarong pada tahun lepas.

Salah satu tinggalan penting ialah pedang diraja Reman serta cap mohor yang masih ada dalam simpanan keturunan Raja Reman, Tengku Zulkarnain Tengku Putera, sepupu Tengku Kaifi, yang kini tinggal di Kuala Lumpur.

Tengku Zulkarnain dibesarkan di Pengkalan Hulu. Sehingga 1980-an, keturunan Raja Reman masih menerima hasil daripada perlombongan bijih timah. “Keluarga keturunan Raja Reman boleh dikatakan

hidup senang.”Kita akhiri pengkisahan ini dengan menjejaki Syed Hussein Jamalullail, yang dilantik sebagai Penghulu Arau kedua pada 1825. Beliau berkahwin dengan Wan Sofiah, anak Wan Mohd Arshad, pembesar Patani. Bila Ligor (Nakhon Sithamarat) menyerang Kayang dan Kedah, Syed Hussein serta Wan Mohd Arshad sama-sama mempertahankan wilayah itu.

Amat menarik jika para pelajar sejarah di Malaysia mengaitkan gabungan Syed Hussein-Wan Arshad dengan keputusan Reman ketika diminta pihak Thai membantu menyerang Kedah.

“Reman menolak seruan Bangkok untuk menyerang Kedah,” kata Tengku Zulkarnain. Ada juga ahli sejarah yang melihat tindakan Raja Reman itu seolah-olah menggunakan peluang serangan pihak Thai ke atas Kedah dan Perak untuk meluaskan wilayah jajahan Reman.

Ini bermakna selama kira-kira 120 tahun, raja-raja Reman berjaya memelihara keamanan, kemerdekaan dan identiti negeri kecil abad ke-19 itu. Keturunan Raja Reman pasti mahu anak cucu mereka menjadi arif sejarah. Apakah rakyat Malaysia bakal menjejaki sejarah di pelbagai lokasi tanah air susulan ancaman Covid-19 yang tidak membolehkan kita keluar negara?

*Rashid Yusof ialah bekas Pengarang Kumpulan New Straits Times