Bela rakyat dan kestabilan politik

No Image Caption
A
A
A

KERAJAAN berlandaskan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat tidak akan pupus dari muka bumi ini. Ungkapan emas kurniaan daripada bekas Presiden Amerika Syarikat ke-16, Abraham Lincoln itu mengagungkan kedudukan dan kuasa rakyat di sesebuah negara.

Di Malaysia juga martabat rakyat berbilang kaum dipelihara di bawah Perlembagaan yang menjadi prinsip asas undang-undang tertinggi negara.

Motif perdananya adalah untuk membela hak dan kebajikan mereka serta menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara.

Rakyat diibaratkan sebagai aset primer dan modal insan tiada bandingan dalam aliran pentadbiran negara di mana tanpa mereka, tidak wujud Malaysia di peta dunia hari ini.

Ancaman kesihatan dihadapi rakyat Malaysia sejak kebelakangan ini sememangnya parah namun kebijaksanaan para petugas barisan hadapan dan strategi pintar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus dapat mengawal badai gelombang Covid-19. Kolum lidah pengarang akhbar harian Makkal Osai memaparkan bahawa ancaman kesihatan disebabkan jangkitan Covid-19 sekiranya merebak dan meragut nyawa ribuan rakyat, maka natijahnya dasar ekonomi negara akan goyah teruk.

Dasar ekonomi negara yang majoritinya bergantung kepada modal insan menjejaskan pengoperasian sektor perniagaan serta perdagangan baharu ke arah pemulihan secara berperingkat. Harapkan pegar, pegar makan padi amat sinonim dengan perbuatan figura-figura politik.

Permainan politik yang kurang sihat itu memuncak apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidddin Yassin telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempertimbangkan untuk mengisytiharkan darurat.

Sebaliknya, Al-Sultan Abdullah dan Raja-raja Melayu telah menitahkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian Persekutuan buat masa ini.

Artikel Berkaitan:

Seri Paduka Baginda turut mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Pendirian tegas Raja-raja Melayu itu turut memberi pengajaran kepada pihak kerajaan semasa dan ahli-ahli politik agar menghentikan politik kotor serta menyingkirkan sikap tamak kuasa.

Dengan ini, terbukti institusi dan Raja-raja Melayu sentiasa berdiri teguh demi menjaga kesejahteraan rakyat dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan terhadap keadaan politik semasa.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah tampuk kepimpinan Muhyiddin wajar bersikap terbuka dengan menerima penglibatan pihak pembangkang dalam menguruskan negara pada musim krisis pandemik ini.

Perkongsian kuasa antara kerajaan semasa dan pihak pembangkang perlu bagi menstabilkan senario politik negara yang memberi kesan langsung kepada pemulihan ekonomi Malaysia.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor