Yakin PH pertahan Semenyih

Sharifah Norhayati menyampaikan cenderahati kepada kanak-kanak sewaktu beramahmesra dengan pesakit serta petugas di wad kanak-kanak Hospital Hulu Terengganu sempena Tahun Baharu Cina.
Sharifah Norhayati menyampaikan cenderahati kepada kanak-kanak sewaktu beramahmesra dengan pesakit serta petugas di wad kanak-kanak Hospital Hulu Terengganu sempena Tahun Baharu Cina.
A
A
A

KUALA BERANG - Wanita PKR Terengganu yakin PH mampu pertahankan kerusi di PRK Semenyih, meskipun ada andaian rakyat mula menolak kerajaan berdasarkan keputusan PRK Cameron Highlands, baru-baru ini.

Ketuanya, Sharifah Norhayati Syed Omar berkata, rakyat Selangor sememangnya telah celik mata dan mengetahui hala tuju PH dalam mentadbir negara serta perancangan bakal dilaksanakan untuk rakyat.

"PRK Semenyih Mac depan saya yakin dan percaya kita akan menang kerana rakyat Selangor telah tahu apa yang kerajaan telah, serta akan buat, mereka bijak menilai.

"Keputusan PRK Cameron Highlands baru-baru ini bukannya signal rakyat menolak PH atau kerajaan sekarang. Ramai berpandangan negatif begitu dan bagi saya tanggapan itu sangat tidak betul.

"Diingatkan kepada pimpinan atau mana-mana pihak bersuara agak negatif itu agar tidak samakan keputusan PRK Cameron Highlands dengan sokongan rakyat kepada PH kerana ia bukanlah cerminan sebenar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian di Hospital Hulu Terengganu, di sini, selepas beramah-mesra dengan pesakit serta petugas di wad kanak-kanak hospital berkenaan sempena Tahun Baharu Cina.

Katanya, mungkin ramai yang terlupa atau terbawa-bawa dengan 'cybertrooper' pembangkang yang mengatakan PH bakal ditolak ekoran kekalahan sewaktu PRK Cameron Highlands.

"Kita kena ingat Cameron Highlands berada di Pahang dan negeri ini kita (PH) kalah PRU14 Mei lalu. Kerusi ini juga kita tidak pernah menang dari dahulu jadi tidak payah percaya khabar angin tidak tepat ini.

Artikel Berkaitan:

"Kemusnahan atau kerosakkan di sana antara isu dimainkan, rakyat mungkin terlupa seketika kata kerajaan tidak bantu selesai masalah mereka sedangkan data dan fakta mengatakan Cameron Highlands dirosakkan kepimpinan terdahulu lagi.

"Jadi keputusan PRK Cameron Highlands bukanlah cerminan sebenar sokongan rakyat terhadap PH dan saya yakin terjemahan sokongan akan dapat dilihat pada PRK Semenyih dijadualkan 2 Mac depan," ujarnya.

Dalam perkembangan berlainan, Wanita PKR Terengganu berazam mahu jadikan negeri ini sebagai salah satu negeri ditadbir Kerajaan PH dalam PRU15 akan datang.

Katanya, bagi merealisasikan hasrat itu pihaknya kini berusaha untuk menambahkan keahlian sehingga 30,000 orang dan sehingga kini Wanita PKR Terengganu punyai keahlian kira-kira 9,000 orang.