Selangor tidak abai golongan Bumiputera

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor tidak mengabaikan golongan Bumiputera di negeri ini berikutan terdapat beberapa dasar yang dilaksanakan secara terus bagi membantu kelompok terlibat.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, walaupun kerajaan negeri tidak menyatakan secara khusus agenda Bumiputera dalam pembentangan Bajet Selangor 2019 baru-baru ini, namun terdapat program-program yang akan dilaksanakan bagi membantu golongan ini khususnya dalam bidang pendidikan.

“Dalam bidang pendidikan, kita ada program secara khusus kepada golongan Bumiputera di Selangor iaitu biasiswa pendidikan bernilai RM16.6 juta, Bantuan Sekolah Agama Rakyat bernilai RM10 juta, Fast Track SPM Tahfiz bernilai RM1.9 juta, dan Program Perintis TVET Tahfiz RM1 juta,”katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata bagi konteks keusahawanan, kerajaan Selangor juga telah memperuntukkan sekitar RM25 juta bagi membantu golongan Bumiputera melalui Program Usahawan Hijrah.

Beliau berkata, walaupun program tersebut dibuka kepada semua kelompok masyarakat di negeri ini, namun berdasarkan rekod kerajaan negeri menunjukkan 90 peratus peserta terdiri daripada golongan Melayu.

“Malah dalam bidang pertanian pula, kita telah buat program untuk meningkatkan hasil sawah padi dengan nilai RM2.6 juta.

“Inilah program-program secara terus akan memberi manfaat kepada golongan Bumiputera di negeri ini,”katanya.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan bahawa kerajaan PH sentiasa komited bagi memperkasakan golongan Bumiputera sejajar dengan perlembagaan di negara ini.

Tambah beliau, pendekatan kerajaan Selangor adalah bagi merealisasikan agenda berkenaan berasaskan kepada keperluan dan keadilan.

Artikel Berkaitan:


“Pelaksanaan program-program kerajaan negeri ini bukan hanya slogan semata-mata tapi lebih ke arah pelaksanaan pemerkasaan secara spesifik,”katanya.