Bajet rakyat atau legitimasi politik?

No Image Caption
A
A
A

SUASANA politik tanah air suhunya mendidih, menggelegak sehingga membawa kepada persoalan sama ada sidang Parlimen kali ini bakal menyaksikan kejutan atau berakhir dengan status-quo.

Buat kali pertama dalam sejarah, belanjawan atau bajet menjadi tumpuan kerana ramai yang ingin tahu jika ia mendapat sokongan ataupun sebaliknya. Belanjawan 2021 menjadi tumpuan selepas cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk pemasyhuran darurat dirasakan belum sampai masanya.

Perdana Menteri akur dengan titah Seri Paduka yang turut memohon agar pembentangan Belanjawan 2021 mendapat sokongan penuh tanpa mengira jalur politik kepartian. Al-Sultan Abdullah juga menyatakan keyakinan ke atas kepimpinan Muhyiddin ketika krisis pandemik Covid-19.

Saranan Seri Paduka wajar diberikan keutamaan oleh semua ahli Parlimen. Di samping bertitah agar bersama membendung ancaman wabak Covid-19, Al-Sultan Abdullah juga memohon perbalahan politik dihentikan untuk memulihkan kesejahteraan rakyat, ketahanan ekonomi dan kelangsungan perniagaan.

Kuasa atau rakyat, legitimasi atau bajet menjadi taruhan. Ada yang menganggap ia membuka ufuk ‘defisit keabsahan’ ke atas kerajaan sekiranya bajet itu ditolak. Adakah itu cubaan untuk membawa ‘kerajaan perpaduan’ dengan mengetepikan Belanjawan 2021 bila pilihan raya umum bukan pilihan? Walaupun ahli Parlimen bebas sama ada menyokong atau menolak bajet ini, tatkala negara sedang berhadapan dengan krisis pandemik Covid-19, adakah masih sukar untuk bersama?

Pun begitu, ada yang mengandaikan jika mereka sebulat suara menunjukkan komitmen menyokong, apakah itu akan mengukuhkan kedudukan Perdana Menteri yang sedang berhadapan dengan pelbagai krisis? Hatta, wujud gerakan mempromosi ‘kerajaan perpaduan’ walaupun ‘kerajaan minoriti’ boleh disokong. Apakah ada ‘perlindungan’ untuk rakyat atau cuba mencari ‘teduhan politik peribadi’?

Namun, jika Belanjawan 2021 adalah sesuatu yang komprehensif merangkumi pelbagai ‘agenda rakyat’ merentasi kumpulan sasar, kelas sosial dan wilayah, apakah ada pihak yang masih mahu menolaknya walaupun tahu impak ke atas pemegang taruh terbesar iaitu RAKYAT?

Perlukah pemimpin parti politik dirayu untuk membelakangkan kepentingan masing-masing untuk rakyat dan negara? Perbalahan politik kali ini sewajarnya membuka ruang untuk ‘rekonsiliasi nasional’ agar keyakinan ke atas ‘runding-damai’ dan ‘libat-urus’ dapat dilakukan.

Kolaboratif silang parti politik dengan bermusyawarah, tawar-menawar dan negosiasi serta mediasi yang rasional dan bukan menjadi ‘scammer politik’ dengan helah tersembunyi berpaksikan kepada demokrasi dan kebebasan boleh dipertimbangkan.

Artikel Berkaitan:

Parameter daripada konfigurasi serta penjajaran politik ‘rekonsiliasi nasional’ memungkinkan artikulasinya berpusat kepada ‘rakyat’. Kerisauan perbelanjaan berhemah boleh ditangani bersama serta menjamin kualiti perkhidmatan dengan dinamika lingkaran ekonomi dan politik diadun untuk lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

Permintaan, tuntutan dan syarat-syarat ‘luar biasa’ memerlukan gencatan politik. Ini bukan masanya untuk mendesak tetapi mengemukakan syor-syor yang boleh memberi nilai tambah kepada dokumen bajet yang sudah ada pertimbangan ke atas kumpulan sasar yang memerlukan pemimpin berjiwa besar kali ini. Politik berhemah dan matang dinanti.

Ini bukan sama ada ‘kuatkah pembangkang, lemahkah kerajaan’ atau ‘Perikatan Nasional lawan Pakatan Harapan’, namun ‘perjanjian pemimpin-rakyat’ perlu dijadikan rujukan buat masa ini kerana kita berada di persimpangan. Ini masanya ‘merakyatkan kepimpinan’. Dalam satu gabungan besar parti politik, walaupun berdampingan tetapi berasingan; walaupun bergaul tetapi tidak bergabung, itu tidak mengapa jika agendanya adalah untuk mengatasi krisis nasional.

Jadikanlah ini sebagai ‘Bajet Perpaduan Covid-19’; ia menyatupadukan bukan sahaja anggota masyarakat tetapi juga ‘perpaduan dalam politik’.

Secara konstruktif, Belanjawan 2021 boleh membina semula negara. Kita tidak memerlukan pemimpin yang sentiasa bersetuju dengan kita tetapi bersetujulah sekarang bahawa kita perlu bersama tatkala krisis melanda negara.

Ufuk pandang politik boleh dijajar semula jika keadaannya reda tidak lama lagi. Sekarang, legitimasi pemimpin politik di tangan ahli politik sendiri. Bekerjasama dalam agenda bajet rakyat akan membolehkan beban krisis ini dipikul bersama oleh kita, rakyat Malaysia, walau bergelar Yang Berhormat!

*Dr Sivamurugan Pandian ialah profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia