Belanjawan dan undi tak percaya

No Image Caption
A
A
A

PERISTIWA belanjawan tahunan sesebuah negara tidak mendapat sokongan ahli majlis perundangan sehingga gagal diluluskan bukanlah perkara asing.

Cuma hal seperti itu tidak pernah berlaku di negara kita. Di Amerika Syarikat, misalnya, ia sudah jadi perkara biasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga pentadbiran kerajaan terpaksa ditutup kerana ketiadaan wang.

Bukan kerana kerajaan Amerika tidak ada duit langsung, tetapi kerana tidak mendapat kelulusan Dewan Perundangan iaitu Kongres bagi membelanjakan duit.

Di negara kita, belanjawan dibentangkan melalui Rang Undang-undang Perbekalan oleh kerajaan kepada Dewan Rakyat sekitar bulan Oktober atau November setiap tahun untuk perbelanjaan tahun berikutnya.

Ia dibahaskan dan jika dipersetujui, akan diluluskan melalui undi. Selepas itu ia dihantar ke Dewan Negara untuk dibahas dan diluluskan.Setelah diluluskan oleh kedua-dua buah Dewan, ia akan dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan diraja.

Selepas diperkenankan, rang undang-undang itu akan digazetkan menjadi undang-undang dan bolehlah dilaksanakan. Kalau Yang di-Pertuan Agong tidak memberi perkenan, rang undang-undang itu akan berkuat kuasa juga selepas tempoh 30 hari.

Dalam sejarah negara kita, pembentangan, perbahasan dan persetujuan belanjawan tidak pernah menjadi isu besar.

Hanya pada 2018, iaitu ketika pembentangan Belanjawan 2019, anggota pembangkang yang diketuai oleh Barisan Nasional (BN) enggan menyokong Rang Undang-undang Perbekalan yang dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Artikel Berkaitan:

Belanjawan 2019 adalah yang pertama dibentang oleh kerajaan yang bukan dipimpin oleh BN setelah parti itu kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018. Bagaimanapun, kerajaan PH tidak mempunyai masalah meluluskannya kerana mempunyai majoriti yang cukup.Inilah keadaan yang amat ditakuti oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November ini.

Ia takut Rang Undang-undang Perbekalan itu tidak mendapat sokongan yang cukup daripada ahli dewan. Ini kerana Muhyiddin sendiri tidak pasti lagi berapa ramai ahli Dewan Rakyat yang masih menyokong beliau.

Kebimbangan inilah yang mendorong Kabinet menggunakan alasan memerangi wabak Covid-19 bagi memohon Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat, tetapi ditolak.

Mengikut konvensyen sistem Westminster yang kita amalkan, Perdana Menteri ‘mesti mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat’ dan ‘menjamin tidak terdapat majoriti sahih yang menentangnya’.Maksudnya, Perdana Menteri bukan saja wajib ada sokongan majoriti, tetapi dia juga perlu memastikan tidak ada penentangan majoriti terhadapnya.

Sekiranya ditakdirkan kerajaan PN gagal mendapat sokongan majoriti bagi cadangan Belanjawan 2021 nanti, hatta dengan perbezaan satu ringgit sekali pun (satu ringgit bukan satu undi), ia terpaksa meletakkan jawatan supaya sebuah kerajaan baharu boleh dibentuk atau meminta supaya Parlimen dibubarkan.

Dalam keadaan pandemik sekarang, membubarkan Parlimen bagi mengadakan PRU adalah amat tidak wajar.

Menyedari kemungkinan inilah maka Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar sidang belanjawan tidak dipolitikkan. Hal ini telah disambut baik oleh Majlis Presiden PH dan Majlis Tertinggi UMNO yang meminta Perdana Menteri agar memulakan segera proses rundingan belanjawan sebelum dibentangkan.

Dalam kaitan ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun boleh memainkan peranan penyelamat dengan memberi jaminan bahawa usul percaya dan tidak percaya terhadap Perdana Menteri akan diberikan ruang dan disegerakan.

Namun jika beliau gagal memberi isyarat yang meyakinkan atau terus berdolak-dalik, kita tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak jika mereka menggunakan bahas belanjawan sebagai saluran undi percaya dan tidak percaya terhadap Muhyidddin. Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara