Industri pembinaan diharap jadi teras pemulihan ekonomi

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya berharap industri pembinaan akan terus kekal diberikan perhatian dan menjadi teras kerajaan dalam pemulihan ekonomi dalam pembentangan Belanjawan 2021, meskipun negara kini berdepan dengan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek-projek pembinaan utama seperti Mass Rapid Transit Line 3 (MRT3), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Pan Borneo serta beberapa projek lebuh raya perlu berjalan lancar dan berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan positif bagi industri sektor pembinaan.

Beliau juga berharap Belanjawan 2021 dapat mempertimbangkan permintaan projek-projek berkeutamaan tinggi tertentu oleh kementerian, antaranya ialah baki bagi pakej projek Central Spine Road (CSR) dan Jalan Kota Bharu-Kuala Krai yang masih belum diluluskan, iaitu laluan antara Kuala Krai ke Gua Musang serta jajaran menghubungkan Bentong ke Karak.

“Sementara di Malaysia Timur, antara projek berkeutamaan tinggi yang terlibat ialah laluan 'missing link' menghubungkan Kuala Baram di Miri dengan sempadan negara Brunei Darussalam di Kompleks Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujuh sepanjang hampir lima kilometer,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadillah berkata, kementerian juga telah memohon sekurang-kurangnya 20 projek baharu di seluruh negara merangkumi projek menaik taraf jalan sedia ada kepada laluan empat lorong dua hala dan pembinaan jalan-jalan baharu.

Selain itu, Fadillah berharap peruntukan yang signifikan dapat disediakan untuk projek-projek kecil sebagai sebahagian pakej rangsangan ekonomi 2021 seperti senggara jalan, cerun, bangunan dan kuarters kerajaan.

Beliau berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) juga perlu diberikan peruntukan bagi menggiatkan lagi penggunaan teknologi dalam industri pembinaan termasuk robotik, automasi dan realiti maya.

“Melalui Belanjawan 2021, kementerian juga berharap dapat mengukuhkan lagi penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS), Model Maklumat Bangunan (BIM) dan Pelan prakelulusan (PAP) dalam pelaksanaan projek-projek kerajaan dan swasta iaitu memenuhi aspirasi yang telah digariskan dalam Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020 dan Dasar Pembinaan Kebangsaan (NCP) 2030 yang bakal dilancarkan nanti,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: