Kasut dengan cap nama Trump dan Macron

Kasut dengan tulisan kaligrafi Arab nama Trump dan Macron yang dihasilkan Mohammad. - Foto Agensi
Kasut dengan tulisan kaligrafi Arab nama Trump dan Macron yang dihasilkan Mohammad. - Foto Agensi
A
A
A

RAMALLAH - Pembuat kasut di Palestin, Imad Mohammad menghasilkan kasut buatan tangan berbeza yang dicap dengan nama Presiden Amerika Syarikat (AS) dan Perancis dalam tulisan kaligrafi Arab sebagai simbol penentangan terhadap mereka.

"Kasut dipakai untuk memijak debu dan kotoran. Oleh itu, jika kita tulis nama seseorang padanya, ia juga akan sama kotor dan jelas menunjukkan nilai individu tersebut," katanya yang memiliki kedai di Ramallah, Tebing Barat.

Menurutnya, dia memilih nama Trump dan Macron kerana kedua-dua pemimpin tersebut 'menyerang' penduduk Palestin.

Idea untuk mereka kasut dengan nama Trump tercetus selepas bilionair hartanah terbabit membuat keputusan provokasi dengan memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis pada Mei 2018.

Harga sepasang kasut tertera nama kedua-dua presiden yang telah mencetuskan kontroversi itu adalah kira-kira AS$50 (RM207) dan diperbuat daripada kulit asli.

"Ia lebih 'asli' daripada Trump," sindirnya.

Awal minggu lalu, Mohammad mendapat idea untuk projek baharu selepas Macron mencetuskan kemarahan Muslim kerana mempertahankan tindakan biadab pihak yang menerbitkan karikatur Nabi Muhammad SAW.

"Kenapa anda 'serang' Nabi yang wafat 1,500 tahun lalu? Saya sebagai orang Islam menolak penghinaan seperti ini," tegasnya yang menuntut permohonan maaf daripada Macron.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, Mohammad turut mengenakan syarat yang menghendaki pelanggan warga Perancis memohon maaf terhadap kenyataan provokasi Macron manakala pelanggan warga AS juga diminta berbuat demikian atas tindakan Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai 'ibu negara' Israel dan langkah memindahkan kedutaan mereka ke wilayah tersebut.

"Jika pesaingnya, Joe Biden membatalkan keputusan itu, saya akan menanggalkan poster 'syarat' tersebut. Saya akan berasa gembira dengan tindakannya," jelasnya lagi. - AFP