Zon merah tidak jejas sektor ekonomi Johor Bahru

Hasni (tengah) menunjukan Novel Kerana Sayang dalam majlis Sambutan Bulan Kesedaran Sindrom Down Sedunia, Pelancaran Novel Khas Kerana Sayaang dan Perasmian Johor Indipendent Living Centre (JILC) di Pulai Spring Resorts, Johor Bahru, hari ini.
Hasni (tengah) menunjukan Novel Kerana Sayang dalam majlis Sambutan Bulan Kesedaran Sindrom Down Sedunia, Pelancaran Novel Khas Kerana Sayaang dan Perasmian Johor Indipendent Living Centre (JILC) di Pulai Spring Resorts, Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengisytiharan zon merah tidak akan menjejaskan sektor ekonomi di Johor Bahru kerana bahagian perniagaan, perkilangan dan pekerjaan masih lagi beroperasi.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, ketika ini tiada arahan penutupan sektor berkenaan selain sekolah dan institusi pendidikan lain.

"Penutupan sekolah dan institusi pendidikan di Johor Bahru, Pasir Gudang dan Kulai adalah satu keperluan.

"Ini adalah usaha kita untuk mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19). (Setakat ini) tiada arahan penutupan melibatkan sektor ekonomi seperti pusat perniagaan, kilang dan tempat kerja dikeluarkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Sambutan Bulan Kesedaran Sindrom Down Sedunia, Pelancaran Noval Khas Kerana Sayang dan Perasmian Johor Indipendent Living Centre (JILC) di Pulai Spring Resorts di sini, hari ini.

Semalam, Kementerian Pendidikan mengarahkan 376 institusi pendidikan di seluruh Johor Bahru ditutup bermula esok sehingga 14 November ini susulan pengisytiharan daerah ini sebagai Zon Merah oleh Kementerian Kesihatan.

Arahan tersebut membabitkan sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah swasta, institut pendidikan guru, sekolah vokasional dan kolej yang berada di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru, PPD Pasir Gudang dan PPD Kulai.

Susulan itu kerajaan negeri turut mengarahkan semua Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) di daerah ini dan Kulai ditutup bermula esok hingga 14 November ini selepas Johor Bahru.

Arahan itu turut melibatkan semua Tadika Agama Johor (TAJ), semua sekolah Darjah khas, Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah), Sekolah Menengah Tinggi Arab (Maahad Johor), semua pusat Tafiz dan madrasah yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).

Artikel Berkaitan:

Hasni berkata, apa yang penting ketika ini memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Usaha untuk memastikan pematuhan terhadap SOP yang ditetapkan ini akan terus kita pergiat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bantuan disediakan kerajaan negeri bagi meringankan beban golongan memerlukan masih dilaksanakan khususnya menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Menurut beliau, ini termasuk bantuan Covid-19 dan petugas barisan hadapan.

Sebelum ini, kerajaan negeri menyediakan bantuan kewangan RM1,000 kepada individu yang disahkan dijangkiti Covid-19 serta RM2,000 kepada waris pesakit dijangkiti yang meninggal dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: 376 institusi pendidikan di Johor Bahru ditutup

Semua taska, tabika dan pusat aktiviti di Johor Bahru ditutup