Sokong program Permit Kerja Sementara tetapi harus ikut undang-undang

Maximus Ongkili
Maximus Ongkili
A
A
A

KOTA KINABALU - Cadangan kerajaan Persekutuan mengeluarkan Permit Kerja Sementara kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) adalah langkah jangka pendek bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh asing di sektor perladangan dan perindustrian di Semenanjung.

Sehubungan itu, rakyat Sabah diminta tidak mempercayai tindakan pihak tertentu yang cuba memutarbelitkan serta membuat tuduhan tidak berasas berhubung cadangan pengeluaran permit itu.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, PBS tiada masalah untuk menyokong program itu namun pihaknya akan memastikan bahawa ia dilaksanakan mengikut undang-undang imigresen dan buruh.

"PBS tiada masalah untuk menyokong niat mulia program ini, dengan syarat ia dilaksanakan sejajar dengan undang-undang imigresen dan buruh, serta dikendalikan dengan baik dan telus. PBS akan memastikan bahawa syarat dan peraturan dipatuhi.

"Bagi pihak PBS dan sebagai wakil dalam kerajaan Persekutuan, kami menyeru rakyat Sabah agar tidak mempercayai cubaan untuk memutar-belit, khabar angin dan tuduhan yang tidak berasas berkenaan cadangan pengeluaran Permit Kerja Sementara. Ia adalah program jangka pendek bagi memenuhi permintaan tenaga buruh pada masa kini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu akan terus diteliti dan dipantau oleh semua pihak termasuk pemimpin PBS sendiri dan juga kerajaan negeri supaya pelaksanaannya selari dengan undang-undang dan mematuhi prosedur dan syarat ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Terdahulu, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, langkah mengeluarkan permit itu sejajar dengan permintaan mendesak daripada majikan berhubung masalah kekurangan tenaga buruh yang membimbangkan pada masa kini.

"Kebanyakan negeri turut dilanda pandemik koronavirus (Covid-19), menyebabkan tenaga buruh tempatan berkurangan. Cadangan tersebut dipertimbangkan berdasarkan bilangan PATI yang bukan sahaja semakin meningkat di pusat tahanan, malah melebihi kapasiti di beberapa negeri. Perkara ini telah lama dipraktikkan.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan undang-undang, sektor swasta melalui Jabatan Imigresen dan Jabatan Buruh boleh memohon untuk mengambil tenaga buruh sama ada dari pusat tahanan atau pasaran tenaga buruh tempatan dengan syarat mereka mematuhi peraturan dan prosedur ketat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya.

Tambah beliau, langkah itu turut memberi peluang kepada buruh asing di negara ini mendaftarkan diri dalam tempoh amnesti dan seterusnya merekodkan data peribadi dan maklumat biometrik mereka.

"Mereka yang tidak tampil secara sukarela selama proses pendaftaran akan ditahan dan seterusnya dihantar pulang ke negara asal.

"Fasa pertama operasi adalah untuk memenuhi permintaan tenaga buruh di Semenanjung. Operasi itu hanya akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak sekiranya ada permintaan untuk pekerja asing dalam sektor perladangan dan pembinaan di kedua-dua negeri," katanya.

Menurutnya, untuk di Sabah, perbincangan antara Jabatan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Pejabat Perdana Menteri dan KDN telah diadakan bagi penubuhan jawatankuasa khas untuk mengendalikan perkara berkenaan.

"Ini untuk memastikan bahawa pengurusan dan hasil operasi akan menjadi sebahagian daripada strategi untuk mengurangkan kehadiran PATI di Sabah.

"Peningkatan kes Covid-19 yang sangat tinggi turut mempengaruhi kebanyakan sektor perladangan dan pembinaan di Malaysia Timur," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan pertimbang beri permit kerja sementara kepada PATI