X

Kindly register in order to view this article
!

Pertimbang semula prosedur pengambilan pekerja asing: Amcham

Prosedur baharu itu juga akan menimbulkan ketidaktentuan terhadap warga asing yang ketika ini berada di Malaysia. - Gambar hiasan.
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (Amcham) meminta Kementerian Sumber Manusia mempertimbangkan semula proses penggajian pekerja asing yang memerlukan majikan untuk mengiklankan kekosongan jawatan di portal pekerjaan nasional, MYFutureJobs, berkuat kuasa 1 November.

Amcham dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, sekatan itu akan menyebabkan kesan domino yang akan menjejaskan proses pemulihan di Malaysia dan memberi kesan terhadap pelaburan serta ekosistem pekerjaan di negara ini.

"Ini bukan hanya akan menimbulkan ketidaktentuan terhadap warga asing yang ketika ini berada di Malaysia, tetapi ia juga akan mempengaruhi kemampuan syarikat untuk menggunakan sumber secara efektif bagi menyokong pelaburan mereka di Malaysia," katanya.

Katanya, majikan menyedari bahawa tanggungjawab sosial mereka adalah mengurangkan pengangguran di Malaysia dan menjalankan operasi yang mampan, justeru pihak industri kini secara aktif bekerjasama dengan institusi pendidikan tempatan dan organisasi tempatan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk meningkatkan bakat tempatan untuk memenuhi keperluan industri.

"Langkah-langkah lain juga diambil untuk membantu mendorong melatih dan pengambilan semula pekerja.

"Proses yang dicadangkan itu mengganggu hak prerogatif perniagaan untuk mengambil bakat yang sesuai dengan keperluan mereka, memenuhi peranan atau berpotensi untuk berkembang serta berjaya dalam persekitaran korporat mereka," katanya.

Mengenai pengambilan pekerja tempatan, Amcham berkata, banyak syarikat multinasional anggota Amcham merekodkan kadar pengambilan pekerja tempatan sebanyak 90 peratus, termasuk di peringkat pengurusan kanan dan sebilangannya mencapai kadar 100 peratus.

Bagaimanapun, berikutan saiz populasi Malaysia yang terhad, ia menghadapi kesukaran dalam pencarian pekerja berkemahiran justeru jumlah pekerja berkemahiran perlu dipertingkatkan untuk memastikan sasaran pertumbuhan tercapai.

"Proses penggajian pekerja baharu yang diumumkan itu akan mempengaruhi keputusan bagi pertimbangan pelaburan yang sedang berlangsung dan juga pada masa depan jika kebolehcapaian dan mobiliti pekerja berkemahiran adalah terhad," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Amcham, Siobhan Das mencadangkan agar kementerian menganjurkan siri dialog dengan pihak berkepentingan penting seperti berbagai dewan perniagaan yang mewakili komuniti pelabur utama, agensi kerajaan yang terlibat dalam pelaburan, wakil daripada kerajaan negeri dan pemain industri utama.

"Dialog tersebut akan membantu membentuk satu dasar yang akan menangani kebimbangan terhadap kadar pengangguran yang semakin meningkat di Malaysia secara konstruktif yang akan mengekalkan peluang yang dibawa oleh pekerja asing terhadap kualiti tenaga kerja untuk manfaat pekerja tempatan dan negara,” katanya.

Pada 26 Oktober lepas, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, majikan yang mahu mengambil pekerja asing melalui program pengambilan penggajian semula dan memohon pengambilan pekerja asing dikehendaki mengiklankan kekosongan jawatan terlebih dahulu di MYFutureJobs, berkuat kuasa esok (1 November).- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!