12.5 tan metrik e-waste dikumpul di Kedah

Robert Ling (tengah) hadir merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2020 peringkat negeri Kedah di Mydin Mall Taman Batik hari ini.
Robert Ling (tengah) hadir merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2020 peringkat negeri Kedah di Mydin Mall Taman Batik hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebanyak 12.5 tan metrik bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) isi rumah berjaya dikumpulkan di beberapa lokasi di Kedah sempena Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2020.

Exco Alam Sekitar, Perumahan, Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam Kedah, Dr Robert Ling Kui Ee berkata, angka itu melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu lima tan metrik bagi setiap negeri sekali gus membuktikan kesedaran masyarakat berusaha memulihara alam sekitar.

Menurutnya, langkah mengasingkan e-waste seperti mesin basuh, komputer, alat pendingin hawa serta telefon bimbit yang rosak dengan membawa ke pusat pengumpulan dilantik Jabatan Alam Sekitar (JAS) mampu memupuk kesedaran ke arah pembudayaan alam sekitar.

"Saya juga menggesa pihak industri untuk sama-sama memberi sokongan bagi mencapai hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara berteraskan pembangunan lestari," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan HASN 2020 peringkat negeri Kedah di Mydin Mall Taman Batik di sini hari ini.

Antara bahan buangan elektrik dan elektronik yang berjaya dikumpul sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2020 peringkat negeri Kedah di Mydin Mall Taman Batik hari ini.
Antara bahan buangan elektrik dan elektronik yang berjaya dikumpul sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2020 peringkat negeri Kedah di Mydin Mall Taman Batik hari ini.

Hadir sama, Pengarah JAS Kedah, Norazizi Adinan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani, Syed Khairol Anuar Syed Abidin.

Sementara itu, Norazizi berkata, pelupusan e-waste secara tidak sepatutnya akan menyebabkan kandungan toksik terutama logam berat berisiko menjejaskan sumber air selain memudaratkan kesihatan.

"Masyarakat perlu bertanggungjawab terhadap bahan buangan e-waste dengan sempurna tanpa mencemarkan alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

"Antara contoh 'household e-waste' yang boleh dikitar semula ialah televisyen, penyaman udara, mesin basuh, peti sejuk, komputer dan telefon bimbit.

"Terdapat pelbagai logam berharga boleh diperoleh daripada e-waste yang telah dilupuskan antaranya aluminium, zink, emas dan kuprum," katanya.

Beberapa lokasi pengumpulan telah diatur sebelum ini bermula 9 Oktober hingga 3 November termasuk di Bandar Puteri Jaya, Universiti Utara Malaysia, Langkawi, Kubang Pasu dan tiga lokasi di Kulim serta Mydin Mall Taman Batik, Sungai Petani, sehingga 5 petang hari ini.

Difahamkan, setakat ini, pengumpulan e-waste seluruh negara juga melepasi sasaran sehingga mencecah 130 tan metrik berbanding sasaran sebanyak 63 tan metrik pada permulaan kempen.