X

Kindly register in order to view this article
!

MFL terima maklum Felda United, UKM FC gagal penswastaan FC

Ab Ghani Hassan
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) dimaklumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bahawa Felda United FC dan UKM FC gagal penswastaan kelab bola sepak (FC).

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan yang memberitahu Felda United FC dan UKM FC kini tidak dibenarkan menyertai liga anjuran MFL sama ada CIMB Liga Super atau Liga Premier pada 2021.

Jelas lagi Ab Ghani, keputusan itu mencapai kata sepakat selepas di bincang secara teliti dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL yang ke-23 di Kelana Jaya Rabu lalu.

Katanya, keputusan yang menyaksikan Felda United FC dan UKM FC gagal penswastaan FC itu terpaksa diambil bagi memastikan tiada masalah membabitkan tunggakan gaji pemain dan pegawai berlaku pada masa depan.

“MFL dimaklumkan berkenaan perkara ini dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL ke-23 di mana ia bincang secara teliti berkenaan status Felda United FC dan UKM FC.

“MFL juga telah dimaklumkan bahawa memang kedua-dua pasukan itu telah pun menyelesaikan proses penswastaan tetapi perkembangan negatif pada masa itu berkaitan sokongan korporat dan kemampuan kedua-dua pasukan muncul.

“Ia memaksa Jabatan Pelesenan FAM untuk meminta penjelasan dan dokumen lebih lanjut daripada setiap pasukan dan pengurusan baharu yang berhasrat mengambil alih pasukan Felda United FC dan UKM FC mengenai kedudukan semasa dan kewangan mereka yang perlu diserahkan kepada FAM selewat-lewatnya pada 19 Oktober 2020.

“Bagi Felda United, biarpun mereka berjaya melengkapkan proses penswastaan FC dan telah pun diluluskan, namun Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menerusi satu siaran media pada 5 Oktober 2020 menyatakan bahawa Felda United tidak akan menyertai CIMB Liga Super atau Liga Premier mulai musim 2021.

“Sehubungan itu, pihak pengurusan baharu Felda United iaitu FUFC The Fighters Sdn Bhd telah mencari pelabur baharu tetapi selepas penelitian dibuat ke atas dokumen kewangan yang dikemukakan, FAM mendapati bahawa kedudukan kewangan pengurusan dan pelabur baharu tidak cukup kukuh untuk mereka mengharungi satu musim penuh liga pada 2021.

“Bagi UKM FC pula, pada tarikh akhir iaitu 30 September 2020, FAM telah dimaklumkan oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bahawa mereka tidak akan bertanggungjawab terhadap urusan kewangan UKM FC.

“Bagi mengelakkan perkara seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam hari ini iaitu berkaitan kegagalan gaji dan lain-lain di masa akan datang, Ahli Lembaga Pengarah MFL menolak keputusan Felda United FC dan UKM FC selepas meneliti semua dokumen daripada pihak yang berminat membeli pasukan itu,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani memberitahu MFL akan mengemaskini kedudukan pasukan Liga Premier selepas ketiadaan Felda United FC dan UKM FC dalam saingan Liga Malaysia musim 2021.

“Berkenaan pasukan-pasukan yang tinggal dalam Liga Premier, 10 pasukan termasuk empat pasukan feeder team iaitu Terengganu FC II, Johor Darul Ta’zim II, Kelantan, Kuching FA, Kelantan United FC, Sarawak United FC, Negeri Sembilan, Perak II, Selangor 2 dan PDRM yang tersingkir dari CIMB Liga Super musim ini.

“MFL akan mengemaskini kedudukan semula Liga Premier 2021 dan akan memaklumkan perkembangan selanjutnya,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!