Hari Tabungan Sedunia platform PTPTN tingkatkan kesedaran menabung

Wan Saiful berucap semasa Majlis Penutup Bulan Menabung SSPN 2020 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia 2020 yang diadakan secara dalam talian menerusi Facebook Rasmi PTPTNOfficial hari ini.
Wan Saiful berucap semasa Majlis Penutup Bulan Menabung SSPN 2020 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia 2020 yang diadakan secara dalam talian menerusi Facebook Rasmi PTPTNOfficial hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi tabung pendidikan utama negara berjaya merekodkan sebanyak RM147.67 juta deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) hanya dalam tempoh 28 hari.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, jumlah itu melebihi sasaran asal sebanyak RM110 juta yang ditetapkan sepanjang sebulan Program Bulan Menabung SSPN 2020 yang bermula 1 Oktober lalu dan berakhir tengah malam hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan program itu pada tahun ini membuktikan komitmen dan kesungguhan PTPTN dalam memberi galakan, mendorong dan membudayakan perancangan kewangan untuk pendidikan tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia meskipun negara dilanda pandemik koronavirus (Covid-19).

Katanya, slogan ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda’ dijadikan pilihan untuk Bulan Menabung SSPN 2020 kerana ibu bapa menjadi 'role model' terbaik kepada anak-anak dari semua aspek termasuk menyediakan keperluan untuk melanjutkan pengajian.

"Ibu bapa perlu meningkatkan kemahiran pengurusan aliran tunai dan langkah utama yang perlu dilakukan ialah dengan mula membuat penabungan atau simpanan untuk anak-anak seawal usia mereka.

"Ibu bapa yang bijak dan menabung seawal usia anak adalah 'Superhero' kerana mereka merupakan individu yang akan menjadi ikutan kepada anak-anak dan menyediakan ruang kejayaan kepada anak-anak mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis Penutup Bulan Menabung SSPN 2020 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia 2020 yang diadakan mengikut norma baharu iaitu secara dalam talian melalui Facebook Rasmi PTPTNOfficial hari ini.

Justeru itu, Wan Saiful mengucapkan tahniah kepada pendeposit-pendeposit SSPN kerana berjaya menjadi 'Superhero' untuk anak-anak sekali gus memastikan masa depan anak-anak lebih terjamin.

Artikel Berkaitan:

“Inilah sebenarnya yang PTPTN hasratkan iaitu memupuk minat dan budaya menabung dalam kalangan masyarakat Malaysia. Hasrat ini akan terus diperkasakan oleh PTPTN dengan pelbagai program-program penabungan yang lebih interaktif dan mesra pelanggan pada masa hadapan.

"Usaha penabungan tidak hanya tertumpu pada Bulan Menabung SSPN sahaja, malah ia turut disambut dengan Hari Tabungan Sedunia pada 31 Oktober setiap tahun," katanya.

Ahmad Dasuki ditemubual secara dalam talian pada Majlis Penutup Bulan Menabung SSPN 2020 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia 2020 yang disiarkan menerusi Facebook Rasmi PTPTNOfficial hari ini.
Ahmad Dasuki ditemubual secara dalam talian pada Majlis Penutup Bulan Menabung SSPN 2020 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia 2020 yang disiarkan menerusi Facebook Rasmi PTPTNOfficial hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful menjelaskan, Bulan Menabung SSPN dengan Hari Tabungan Sedunia amat signifikan kerana kedua-duanya membawa kepada budaya penabungan yang perlu diterapkan dalam diri setiap individu.

"Atas semangat ini, PTPTN memilih bulan Oktober untuk menganjurkan program Bulan Menabung SSPN 2020 dengan #mulakansekarang sebagai acara tahunan untuk meraikannya sempena Hari Tabungan Sedunia," katanya.

Hari Tabungan Sedunia atau 'World Savings Day' telah diperkenalkan pada 31 Oktober 1924 yang diputuskan ketika Kongres Bank Simpanan Antarabangsa kali pertama di Milan, Itali.

Matlamat utamanya adalah untuk menyemai minat menabung dalam kalangan orang ramai di seluruh dunia dan kemudiannya diraikan untuk kali pertama pada 1925 sebelum seterusnya dijadikan acara tahunan pada setiap 31 Oktober.

Pada tahun 2020, tema Hari Tabungan Sedunia adalah ‘when you save a bit, big things follow’ atau mengikut pepatah Melayu adalah ‘simpan sikit-sikit, lama-lama jadi bukit’.

Dalam konteks simpanan SSPN, Wan Saiful memberitahu, simpanan boleh dibuat serendah RM1 sehari dan dengan nilai sekecil itu pun pelbagai manfaat diperoleh ibu bapa untuk masa depan pendidikan anak-anak.

"Masa depan anak-anak akan terus terjamin walaupun selepas ketiadaan atau kematian ibu bapa kerana SSPN adalah produk bersadur perlindungan sehingga RM1 juta.

“Melalui tabiat dan budaya menabung yang disemai, kita akan mendapat pelbagai limpahan nikmat terutamanya apabila hendak melanjutkan pelajaran ke menara gading.

"Hasil tabungan boleh digunakan untuk membiayai kos pendidikan dan mentaliti kebergantungan kepada wang bantuan dapat dielakkan daripada terus menjadi pegangan hidup," kata beliau.

Tambahnya, selain itu, amalan menabung juga boleh dijadikan sebagai wahana mendisiplinkan keluarga dan individu kerana dengan amalan menabung membolehkan masyarakat menyemai dan menyuburkan amalan berjimat cermat.

“Sebagai ibu bapa pastinya mengimpikan anak-anak berjaya ke menara gading dan mendapat pekerjaan yang hebat-hebat.

"Impian ini perlu diterjemahkan melalui tindakan ibu bapa itu sendiri dengan menyediakan perancangan kewangan dan simpanan secara konsisten. Buatlah simpanan SSPN kerana pastinya ia akan memberi faedah yang amat besar kelak," katanya.

Sementara itu, melalui temubual semasa program berlangsung, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, hasrat dan fokus PTPTN adalah jelas iaitu untuk memastikan bahawa graduan pada masa hadapan hanya mempunyai hutang pendidikan yang minimum melalui penabungan yang dilakukan dengan lebih awal.

"PTPTN adalah ‘Tabung Pendidikan’, itulah yang harus disematkan dan diingati oleh setiap daripada kita.

"Jadi kita menyeru orang ramai supaya melihat PTPTN sebagai sebuah agensi penabungan pendidikan dan bukan lagi sebagai sebuah agensi yang memberi pinjaman pendidikan," katanya.

PTPTN pada tahun ini menyasarkan jumlah simpanan sebanyak RM1.5 billion dengan pembukaan 400,000 akaun baharu.

Rekod sehingga September 2020 menyaksikan pencapaian sebanyak 329,465 akaun baharu berbanding sasaran sebanyak 268,000 akaun.

Deposit yang diterima bagi tempoh yang sama adalah sebanyak RM983.21 juta iaitu 147.35 peratus melebihi sasaran sehingga September 2020 sebanyak RM397.50 juta.

Semenjak dilancarkan pada tahun 2004 sehingga 30 September 2020 pula, sebanyak 4.7 juta akaun SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM6.87 bilion.