APMM usir bot nelayan Indonesia

Bot nelayan Indonesia dikesan ceroboh perairan negara di usir. Gambar kecil: Shahrizan Raman - Foto APMM Perak
Bot nelayan Indonesia dikesan ceroboh perairan negara di usir. Gambar kecil: Shahrizan Raman - Foto APMM Perak
A
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak mengusir sebuah bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara kita-kira 20.8 batu nautika Barat Laut Pulau Jarak di sini kelmarin.

Pengarahnya, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kehadiran bot nelayan tradisional Indonesia itu dikesan oleh pesawat udara Maritim Malaysia AS365 N3 ketika rondaan Op Benteng di perairan Selat Melaka pada jam 1.56 petang.

"Maklumat pengesanan telah disampaikan kepada Kapal KM Gagah yang juga dalam tugasan Op Benteng di Sektor 4 yang kemudian terus menghala ke lokasi.

“Pengusiran dilakukan secara membayangi (shadowing) bot nelayan Indonesia itu sehingga keluar daripada perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pengusiran itu merupakan tindakan semasa bagi mencegah dan mengekang penularan koronavirus (Covid-19) kes import yang dibawa oleh warga asing.

“APMM akan terus meningkatkan pemantauan dan memperkukuh sempadan perairan negara khususnya melalui Op Benteng Laut dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan.

“Komuniti maritim diminta bertanggungjawab dan bekerjasama membanteras aktiviti jenayah, kemasukan PATI dengan menyalurkan maklumat yang membabitkan tekong, ejen serta tali barut ke talian NTF 011- 6251 1123 atau Pusat Operasi APMM Perak 05-6838737,” katanya.

Artikel Berkaitan: