Geng pecah kedai diberkas

Antara barang yang dirampas daripada kumpulan terbabit.
Antara barang yang dirampas daripada kumpulan terbabit.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sembilan lelaki termasuk seorang warga emas ditahan polis selepas mereka dipercayai aktif dalam melakukan jenayah samun dan pecah kedai di sekitar kawasan Seberang Perai Tengah di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kesemua mereka ditahan dalam beberapa serbuan yang dilakukan di daerah ini dan termasuk kawasan Serdang, Bandar Baharu Kedah, sejak Rabu lalu.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya menerima enam laporan berhubung kejadian pecah kedai di kawasan Icon City, Bukit Tengah di sini.

"Hasil siasatan dan risikan membawa kepada serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Telok Sera, Serdang dan menahan lima lelaki yang berada di dalam rumah terbabit.

"Soal siasat yang dilakukan mendapati salah seorang daripada mereka mengaku terlibat dengan kejadian pecah kedai di kawasan Icon City, Bukit Tengah sebelum ini," katanya ketika dihubungi.

Nik Ros Azhan berkata, susulan daripada tangkapan itu, serbuan seterusnya dilakukan di Jalan Pangkalan, Bukit Tengah di sini dan menahan dua lagi rakan mereka.

Selain itu, polis turut menemui lapan paket lutsinar yang mengandungi dadah, alat penimbang, pemetik api dan gunting.

Nik Ros Azhan
Nik Ros Azhan

Artikel Berkaitan:

Katanya, tiga lagi serbuan dilakukan tidak jauh daripada lokasi serbuan kedua dengan merampas pelbagai barangan yang dipercayai hasil curi kumpulan terbabit.

Beliau berkata, antara barang yang dirampas daripada kumpulan terbabit seperti satu buku cek Bank OCBC, polisi insurans dan beberapa dokumen-dokumen dipercayai milik syarikat

"Turut dirampas dari kumpulan terbabit, paket plastik lutsinar di dalamnya mengandungi hablur-hablur kristal disyaki dadah jenis methamphetamine, satu botol kaca yang telah diubahsuai disyaki alat menghisap dadah dan pemetik api yang telah diubahsuai.

"Turut dirampas dua buah peti mesin tunai, satu mesin juruwang dan tiga buah tong gas seberat 14 kilogram," katanya.

Ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati lapan daripada mereka positif dadah dan semakan yang dibuat mendapati kebanyakan daripada mereka mempunyai pelbagai kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Katanya, kesemua yang ditahan kini direman untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Selain itu mereka juga akan disiasat mengikut 39(A) 1 Akta Dadah Merbahaya 1952, 12(3) dan 15(1)(a) akta yang sama.