Kelantan FC umum logo baharu

Logo TRW Kelantan FC yang baharu.
Logo TRW Kelantan FC yang baharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan FC hari ini secara rasmi mengumumkan logo baharu pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman berkata, logo itu merupakan ciptaan Muhammad Afiff Hakimi Anuar yang memenangi pertandingan mencipta logo sebelum ini dan telah ditambah baik untuk dijadikan logo rasmi Kelantan FC dalam saingan Liga-M.

"Perubahan logo baharu itu seiring dengan aspirasi dan misi pasukan sebagaimana dilakukan kelab bola sepak terkenal di dunia seperti Liverpool dan Juventus selain pengeluar barangan sukan ternama, Nike.

"Alhamdulillah, selepas mengambil alih pengurusan pasukan The Red Warriors (TRW) satu pertandingan membuat logo baharu dibuat...daripada ratusan yang di hantar, saya memilih logo hasil Muhammad Afiff berikutan reka bentuk sudah menarik hati tetapi logo kijang sahaja berbeza," katanya dalam kenyataan hari ini.

Norizam turut berkata, beliau sudah menjangka lebih awal timbul kecaman sebaik sahaja logo itu diperkenalkan di laman sosial.

"Ada segelintir penyokong yang tidak sabar, mahukan yang terbaik walaupun sudah ada kenyataan (bahawa) logo pemenang bukanlah logo muktamad yang akan diguna pakai pada permulaan musim 2021 nanti.

Sedikit pengubahsuaian dilakukan bagi memastikan keseluruhan imej pada logo itu menepati kehendak daripada segi maksudnya," katanya.

Memperincikan maksud logo itu, jelasnya, imej dua bintang berbucu lima melambangkan perpaduan kuat di antara penyokong dan pasukan TRW.

Artikel Berkaitan:

"Bulatan emas menyerlahkan betapa berharganya pasukan TRW Kelantan FC bagi membawa pasukan ke peringkat lebih tinggi baik daripada pengurusan dan kualiti permainan," katanya.

Norizam juga berkata, bagi bentuk 11 palang melambangkan 11 jajahan di seluruh Kelantan yang bakal melahirkan pemain bola yang berkualiti, berdisiplin dan hebat.

"Logo kijang digarap dengan wajah tegas dan garang menandakan pengurusan serta pasukan bersungguh-sungguh mencapai misi dan visi pasukan kemenangan.

"Warna merah melambangkan warna semangat berani berjuang hingga ke minit terakhir perlawanan, logo adalah lambang pasukan. Semangat adalah isi kekuatan kemenangan dan fokus menjaringkan gol tanpa lupa bertahan adalah misi kejuaraan pasukan TRW," katanya. - Bernama