Boleh tangguh PRK, PRN jika kawasan diisytiharkan darurat

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan perutusan khas, berhubung situasi semasa COVID-19 yang disiarkan secara langsung di kediamannya hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan perutusan khas, berhubung situasi semasa COVID-19 yang disiarkan secara langsung di kediamannya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi, Sabah dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak boleh ditangguhkan jika dua kawasan itu diisytiharkan darurat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termaktub di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin bagaimanapun berkata, beliau secara peribadi tidak bersetuju untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh sukar ini susulan pandemik Covid-19 masih menunjukkan peningkatan ketara.

"Tetapi apa boleh buat kerana itu kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan maka kita terpaksa mengadakan pilihan raya. Kecuali jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Batu Sapi dan Sarawak, bolehlah kita tangguhkan dahulu kedua-dua pilihanraya ini sehingga Covid-19 berakhir.

"Jika pilihanraya tidak dapat ditangguhkan atas apa-apa sebab sekalipun, rayuan saya kepada kepada penduduk di Batu Sapi dan Sarawak, berhati-hati lah," katanya ketika menyampaikan perutusan khas perkembangan semasa Covid-19 yang disiar secara langsung stesen televisyen tempatan sebentar tadi.

Jelas Muhyiddin lagi, pihaknya juga terbuka mendengar pandangan pakar berkaitan dalam pengurusan pilihan raya dan kesihatan di negara ini.

Katanya, ia termasuk ada pihak yang mencadangkan supaya memperketat prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya.

"Ya, boleh. Saya akan teliti SOP yang disediakan oleh SPR untuk PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak.

Artikel Berkaitan:

"Cuma saya tahu banyak kekangan yang dihadapi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menggubal satu SOP yang benar-benar berkesan bagi memastikan tiada jangkitan langsung semasa pilihanraya diadakan," katanya.

Katanya, antara kekangan yang dihadapi termasuklah untuk menghalang pergerakan pengundi di kawasan merah keluar mengundi kerana dalam Perlembagaan mereka ada hak untuk mengundi.

"Batu Sapi merupakan kawasan merah. Kita minta penduduk Batu Sapi supaya duduk di rumah. Tetapi oleh kerana ada pilihan raya mereka terpaksa keluar beramai-ramai untuk mengundi. Mungkin peratusan keluar mengundi akan menjadi rendah tetapi itulah demokrasi," katanya.