Pelan tindakan kawal Covid-19 dibentang minggu depan: Ismail Sabri

Ismail Sabri (kiri) beramah mesra dengan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Melaka, Datuk M S Mahadevan selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka di Seri Negeri hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri (kiri) beramah mesra dengan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Melaka, Datuk M S Mahadevan selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka di Seri Negeri hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Pelan tindakan menyeluruh bagi mengawal wabak koronavirus (Covid-19) untuk jangka panjang akan dibentangkan ke jawatankuasa kecil Majlis Keselamatan Negara (MKN) selewat-lewatnya minggu depan, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pelan berkenaan mengambil kira cadangan penambahbaikan daripada pelbagai sektor termasuk ekonomi, kesihatan dan pendidikan.

"Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap pelan ini satu perkara yang perlu disegerakan dan ia dijangka dibentangkan dalam jawatankuasa kecil dan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa induk sebelum ke Mesyuarat Jawatankuasa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Pelan ini, khususnya melibatkan cadangan-cadangan yang kita telah putuskan dalam menghadapi pandemik Covid-19 bagi jangka masa panjang dan kemudiannya akan dibentangkan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka ​​​​​​sempena sambutan Hari Lahir Ke-71 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam kepada 294 penerima di Seri Negeri di sini hari ini.

Pada istiadat berkenaan, Ismail Sabri dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad masing-masing menerima Darjah Gemilang Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk Seri.

Bernama hari ini melaporkan MKN sedang merangka pelan tindakan menyeluruh bagi menjamin wabak Covid-19 terus terkawal meskipun pandemik itu berterusan untuk jangka masa panjang.

Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Pengurusan Keselamatan) MKN Datuk Rodzi Md Saad dipetik sebagai berkata, pelan tindakan tersebut akan berdasarkan penilaian fakta dan pengalaman tindakan yang telah dilakukan kerajaan dalam mengawal Covid-19 sejak Januari tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, cadangan memberi permit kerja sementara kepada pekerja tanpa izin yang bertujuan mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja dalam industri kelapa sawit dan getah di negara ini akan dibentangkan ke mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.

"Dalam mesyuarat khas MKN sebelum ini, keutamaan mengisi kekosongan dalam sektor tersebut diberikan kepada pekerja warga tempatan dan sekiranya tiada, barulah ia akan ditawarkan kepada pekerja asing yang telah pun berada di sini dan bukannya pekerja baharu yang dibawa dari luar," katanya.

Sebelum ini dilaporkan, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberi permit kerja sementara kepada pekerja asing tanpa izin yang berada di negara ini, khususnya dalam industri kelapa sawit dan getah, lebih-lebih lagi selepas pintu sempadan negara ditutup, akibat penularan pandemik Covid-19. - Bernama