Covid-19: Laksana PdP dalam talian walau sekolah tutup

Sekolah Agama Taman Kota Masai, Pasir Gudang antara yang terlibat ditutup selama dua minggu berikutan kawasan Johor Bahru diisytiharkan sebagai zon merah.
Sekolah Agama Taman Kota Masai, Pasir Gudang antara yang terlibat ditutup selama dua minggu berikutan kawasan Johor Bahru diisytiharkan sebagai zon merah.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ), Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) dan Sekolah Menengah Tinggi Arab (Maahad Johor) yang ditutup selama dua minggu mulai esok perlu melakukan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian rumah.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, pelaksanaan itu bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir dalam pelajaran.

"Pentadbir sekolah serta semua institusi pendidikan Islam diarah untuk memastikan tenaga pengajar serta pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah termasuk Kelas Darjah Khas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan negeri hari ini mengarahkan semua SAKJ di daerah ini dan Kulai ditutup bermula esok hingga 14 November ini selepas Johor Bahru diisytiharkan sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Arahan itu turut melibatkan semua Tadika Agama Johor (TAJ), semua sekolah Darjah khas, Marsah, Maahad Johor, semua pusat tahfiz dan madrasah yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).

Semalam Kementerian Pendidikan mengarahkan 376 institusi pendidikan di seluruh Johor Bahru ditutup bermula esok sehingga 14 November ini melibatkan sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah swasta, institut pendidikan guru, sekolah vokasional dan kolej.

Tosrin berkata, semua pegawai pendidikan Islam daerah, pentadbir serta guru-guru yang berada di kawasan zon merah perlu melaksanakan kerja dari rumah sepanjang tempoh itu dan tidak dibenarkan pulang ke zon hijau.

Menurutnya, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil pelajar yang tinggal di asrama.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa serta pelajar yang ingin terus kekal di asrama sekolah dan institusi berkaitan sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

Ujarnya, keperluan makan dan minum pelajar sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah dan institusi berkenaan.

"Bagi pelajar asrama yang pulang ke kawasan yang disahkan zon merah tidak dibenarkan pulang ke asrama sehingga tarikh yang dibenarkan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:376 institusi pendidikan di Johor Bahru ditutup