Tiada keperluan tutup semua sekolah di Perak: Exco

Razman
Razman
A
A
A

BAGAN SERAI - Tiada keperluan untuk menutup semua sekolah berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19) hanya berlaku di beberapa kawasan di Perak.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, perkara itu selari dengan Kementerian Pendidikan yang mengesyorkan sekolah akan ditutup sekiranya terdapat kes positif wabak itu.

“Kementerian Pendidikan sendiri telah beri kuasa kepada sekolah sekiranya ada pandemik itu maka sekolah disyorkan ditutup.

“Jadi setakat ini tiada arahan untuk menutup sekolah-sekolah ini sebab tiada keperluan serta tidak menyeluruh, hanya kawasan-kawasan terlibat pandemik sahaja ditutup,” katanya ketika ditemui pada Program Jejak Kasih Menteri Besar dan Exco Pendidikan Negeri ke Parlimen Bagan Serai di Surau Al-Hidayah, Bukit Merah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyarankan semua sekolah ditutup ekoran peningkatan kes jangkitan Covid-19 melibatkan warga sekolah.

Pada masa sama, Razman berkata, kehadiran pelajar ke sekolah masih memberangsangkan dengan mencatatkan purata 95 peratus.

“Berdasarkan statistik Jabatan Pendidikan Negeri itu ia adalah angka normal meskipun ada dua atau tiga kelas terkesan. Apabila ada yang terkesan akibat Covid-19, ada ibu bapa mengambil tindakan awal dan kelas itu kurang pelajar.

“Jadi, tidak timbul isu tidak minat datang sekolah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pelajar juga sebenarnya ingin ke sekolah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Razman dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali telah menyampaikan 100 kotak makanan kepada golongan asnaf dan kurang berkemampuan di Gunung Semanggol dan Selinsing.