Belanjawan 2021: Ketepikan perbezaan politik, utamakan rakyat - PM

Muhyiddin ketika menyampaikan perutusan khas sebentar tadi. -Foto Facebook Muhyiddin Yassin
Muhyiddin ketika menyampaikan perutusan khas sebentar tadi. -Foto Facebook Muhyiddin Yassin
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa semua pihak ketepikan perbezaan politik dan fokus kembali mengutamakan kepentingan rakyat dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan nanti.


Berikut merupakan kenyataan penuh beliau:

1. Saya memandang serius trend peningkatan kes-kes positif Covid-19 secara mendadak di negara kita pada masa ini. Dalam apa yang disebut sebagai gelombang ketiga Covid-19 ini, hanya dalam tempoh sebulan yang lalu, hampir 20 ribu kes positif baharu dicatatkan di Malaysia berbanding 10,576 kes dalam tempoh 6 bulan sebelumnya. Jumlah keseluruhan kes positif setakat 30 Oktober 2020 ialah 30,090 kes dengan 246 kematian.

2. Setakat ini Sabah mencatatkan jumlah kes yang tertinggi iaitu 13,701 kes. Negeri-negeri lain yang mencatatkan lebih 1 ribu kes ialah Selangor 4,360 kes, Kuala Lumpur 2,991 kes, Kedah 2,080 kes dan Negeri Sembilan 1,516 kes.

3. Peta negeri Sabah dan Selangor menunjukkan hampir keseluruhan kawasan telah menjadi merah, iaitu kawasan-kawasan yang mencatatkan kes Covid-19 melebihi 40 kes. Negeri-negeri yang dahulunya berstatus hijau, iaitu tiada langsung kes positif Covid-19 seperti Perak, Negeri Sembilan dan Melaka telah menjadi kuning dan sebahagian kawasan telah bertukar menjadi merah.

4. Peningkatan kes Covid-19 secara mendadak telah memberi tekanan kepada para frontliners kita. Di negeri Sabah sahaja lebih 300 petugas barisan hadapan telah dijangkiti Covid-19 dan lebih 1,200 petugas dikenakan kuarantin. Terdapat anggota

polis yang terkena jangkitan Covid-19 dan setakat ini hampir 11,000 anggota terpaksa dikuarantin. Keadaan ini menambah kekangan pasukan polis terutamanya bagi mereka yang bertugas di barisan hadapan. We can’t fail our frontliners.

5. Kerajaan memandang serius perkembangan ini. Sejak sebulan yang lalu, saya mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 hampir setiap hari. Saya bersama Menteri-Menteri Kabinet dan pegawai- pegawai kanan kerajaan meneliti data-data dan syor-syor yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi-agensi kerajaan yang lain dalam membendung Covid-19.

Artikel Berkaitan:

6. Kita mengambil pendekatan untuk mengimbangi antara kepentingan melindungi nyawa rakyat dan keperluan menjamin kelangsungan hidup saudara dan saudari sekalian. We have to strike a fine balance between protecting lives and livelihood.

7. Kita perketatkan SOP bagi kegiatan sosial, pendidikan, keagamaan, sukan dan lain-lain untuk mengurangkan pergerakan orang ramai dan memutuskan rantaian jangkitan. Tetapi pada masa yang sama, kita benarkan kegiatan ekonomi untuk diteruskan tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat untuk memastikan perniagaan dan industri terus beroperasi.

8. Dalam mengurus gelombang ketiga Covid-19 pada waktu ini, Kerajaan cuba sedaya-upaya untuk mengelakkan kesan yang terlalu buruk ke atas ekonomi negara yang boleh memberikan kesan negatif kepada kehidupan ekonomi rakyat.

9. Saya tahu ramai rakyat yang sedang menderita kerana kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat penularan Covid-19. Banyak perniagaan yang terpaksa ditutup. Lebih 800 ribu orang telah kehilangan pekerjaan. Saya mendengar rintihan saudara dan saudari sekalian.

10. Oleh itu, Kerajaan akan membentangkan Bajet 2021 di Dewan Rakyat pada 6 haribulan November nanti yang akan menyediakan pelbagai peruntukan kepada agensi kerajaan, bantuan kepada rakyat jelata dan insentif kepada sektor korporat, industri dan perniagaan dalam menghadapi Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara. Insya-ALLAH, dalam Bajet yang akan dibentangkan nanti, kerajaan akan mengumumkan inisiatif-inisiatif yang bakal meringankan beban yang ditanggung oleh saudara dan saudari sekalian dalam menghadapi zaman yang sukar ini.

Belanjawan 2021
Belanjawan 2021

11. Saya berharap, semua Ahli Parlimen dapat mengetepikan perbezaan politik untuk memastikan Bajet 2021 diluluskan demi kepentingan rakyat dan negara. Marilah kita letakkan kepentingan rakyat mengatasi segala kepentingan lain. Satu bentuk persefahaman boleh dirangka dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen untuk membolehkan Bajet 2021 diluluskan dengan sokongan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

12. Saya memberi jaminan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional akan terus mencari jalan terbaik untuk mengurus krisis besar yang sedang kita hadapi pada masa ini. Matlamat kita hanyalah satu iaitu untuk menang dalam melawan Covid-19 dan memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

13. Pilihanraya Kecil Batu Sapi yang ditetapkan pada 5 Disember 2020 dan Pilihanraya Negeri Sarawak yang berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa tidak dapat dielakkan. Ini kerana menurut Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, pilihanraya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas terdapat kekosongan bagi sesuatu kerusi Parlimen. Fasal 4 Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak juga memperuntukkan pilihanraya negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri.

14. Dalam Sidang Khas MKN yang saya pengerusikan hari ini, Setiausaha SPR memaklumkan ramai petugas pilihanraya menyatakan rasa bimbang untuk bertugas di PRK Batu Sapi nanti kerana takut terkena jangkitan Covid-19. Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia juga melaporkan jika Pilihanraya Negeri Sarawak terpaksa diadakan, beliau bimbang akan keadaan di kawasan-kawasan pedalaman negeri Sarawak yang tidak mempunyai kemudahan kesihatan yang lengkap apakah akan mampu menampung peningkatan kes-kes positif Covid-19 yang berkemungkinan naik secara mendadak selepas pilihanraya.

Keupayaan frontliners dan logistik kesihatan juga akan menjadi semakin terkekang dengan keadaan geografi negeri Sarawak yang luas dan sesetengah kawasan amat sukar untuk diakses. Ini tidak mengambilkira kos tambahan yang akan ditanggung oleh kerajaan dan kos ke atas ekonomi jika penularan jangkitan Covid-19 berlaku dengan mendadak selepas pilihanraya. Di negeri Sabah sahaja dianggarkan kerajaan terpaksa membelanjakan setengah bilion ringgit jika PKP terpaksa dilaksanakan.

15. Ini pandangan yang diberikan oleh pihak yang pakar dalam pengurusan pilihanraya dan kesihatan di negara kita. Saya mestilah mendengar pandangan mereka.

16. Ada pihak mencadangkan kepada saya supaya kita perketatkan SOP pilihanraya. Ya, boleh. Saya akan teliti SOP yang disediakan oleh SPR untuk PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak. Cuma saya tahu banyak kekangan yang dihadapi oleh SPR untuk menggubal satu SOP yang benar-benar berkesan dalam memastikan tiada jangkitan langsung semasa pilihanraya diadakan.

17. Antaranya ialah kekangan untuk menghalang pergerakan pengundi di kawasan merah untuk keluar mengundi kerana mereka ada hak untuk mengundi di sisi perlembagaan. Batu Sapi adalah kawasan merah. Kita minta penduduk Batu Sapi supaya duduk di rumah. Tetapi oleh kerana ada pilihanraya mereka terpaksa keluar beramai-ramai untuk mengundi. Mungkin peratusan keluar mengundi akan menjadi rendah, tetapi itulah demokrasi.

18. Begitu juga pergerakan pengundi dari kawasan merah ke kawasan hijau juga tidak dapat dihalang. Cuba saudara dan saudari bayangkan. Kuching sekarang adalah kawasan merah yang mencatatkan lebih 70 kes Covid-19. Mengikut Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang dilaksanakan sekarang, penduduk di Kuching tidak dibenarkan keluar dari daerah Kuching. Dengan itu kita dapat membendung penularan Covid-19 ke daerah-daerah lain yang masih berstatus hijau, iaitu tiada langsung kes Covid-19 dikesan.

19. Tetapi jika pilihanraya terpaksa diadakan, kita tidak boleh menghalang penduduk di Kuching yang mengundi di Samarahan, Sri Aman, Miri, Bintulu dan lain- lain daerah untuk keluar mengundi. Begitu juga pengundi Sarawak yang tinggal di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan lain-lain negeri yang mencatatkan kes-kes Covid-19 yang tinggi. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak boleh menghalang mereka pulang mengundi kerana itu adalah hak mereka di bawah Perlembagaan.

20. Mungkin ada yang kata kenapa kita tidak buat ujian saringan Covid-19 ke atas semua pengundi luar negeri Sarawak yang hendak balik mengundi. Isunya, siapa yang akan menanggung kos ujian dan apakah kita mempunyai kapasiti makmal yang mencukupi untuk melakukan ujian ke atas ratusan ribu pengundi dalam masa yang singkat. Ujian saringan pun tidak dapat menjamin mereka tidak dijangkiti selepas mengambil ujian.

21. Oleh kerana ramai pesakit Covid-19 tidak mempunyai apa-apa simtom, kita tidak dapat pastikan dengan tepat siapa di antara mereka yang membawa virus ini dan menyebabkan jangkitan dalam komuniti. Lebih sukar sekiranya jangkitan berlaku di kawasan-kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan hospital dan fasiliti kesihatan lain yang lengkap. Mereka yang dijangkiti mungkin akan meninggal dunia begitu sahaja sebelum bantuan tiba, na’uzubillah.

22. Saya sebutkan begini kerana ini bukan perkara main-main. Ini perkara serius. Kerana itu, kalau saudara dan saudari tanya saya, pilihanraya sepatutnya tidak diadakan langsung pada masa ini.

23. Tetapi apa boleh buat kerana itu adalah kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan maka kita terpaksa mengadakan pilihanraya. Kecuali jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Batu Sapi dan Sarawak, boleh lah kita tangguhkan dahulu kedua-dua pilihanraya ini sehingga Covid-19 berakhir.

24. Jika pilihanraya tidak dapat ditangguhkan atas apa-apa sebab sekalipun, rayuan saya kepada kepada penduduk di Batu Sapi dan Sarawak berhati-hati lah.Jagalah diri saudara dan saudari semua. Patuhi SOP dengan penuh berdisiplin apabila pilihanraya diadakan.

25. Begitu juga penduduk di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan lain-lain negeri yang sedang mencatatkan peningkatan kes-kes positif Covid-19. Saya merayu kepada saudara dan saudari sekalian, jagalah diri masing-masing, ahli keluarga dan orang di sekeling kita dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan. Kasihanilah para frontliners kita yang terpaksa bekerja siang dan malam bersabung nyawa untuk memerangi wabak ini dan melindungi kita semua.

26. Bagi yang bekerja, seboleh-bolehnya bekerjalah dari rumah. Saya bimbang kerana sekarang ini telah ada beberapa kluster baharu yang berpunca daripada jangkitan di tempat kerja.

27. Bagi mereka yang terpaksa keluar bekerja, patuhilah SOP dengan penuh berdisiplin. Sentiasalah ingat untuk memakai pelitup muka, bersihkan tangan dan jaga penjarakan fizikal. Elakkan tempat yang sesak dan jangan bersentuhan. Jika tidak ada apa-apa urusan yang penting, duduklah di rumah. Please stay at home because our home is the safest place on earth now.

28. Akhir sekali, saya ingin mengajak semua pihak – ahli-ahli politik, pemimpin masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan, belia, mahasiswa dan seluruh lapisan masyarakat supaya bersatu hati, berganding bahu dan berpadu tenaga untuk melawan Covid-19

29. Saya berdoa mudah-mudahan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara kita segera berakhir dan kita semua dijauhi daripada sebarang musibah. Amin, Amin Ya Rabbal Alamin.