X

Kindly register in order to view this article
!

Warung uzur jadi tempat berteduh

Warung uzur yang menjadi tempat tinggal Fauzi sejak empat tahun lalu.
A
A

KUBANG PASU - Seorang pemuda di Kampung Temalang, Jitra di sini menjalani hidup tidak terurus dan daif di sebuah warung uzur dengan dindingnya runtuh beberapa hari lalu.

Fauzi Md Daud, 23, yang hidup berdikari selepas kematian ibunya ketika berusia 15 tahun juga terpaksa menjalani kehidupan sehariannya tanpa bekalan elektrik dan air di warung berkenaan sambil mengakui menggunakan air sungai berdekatan untuk tujuan membersihkan diri.

Hassan (dua dari kanan) bersama Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bahagian Jerlun, Abdul Ramli melihat sebahagian dinding warung yang runtuh Selasa lalu.
Hassan (dua dari kanan) bersama Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bahagian Jerlun, Abdul Ramli melihat sebahagian dinding warung yang runtuh Selasa lalu.

"Saya mengambil upah melakukan kerja-kerja kampung sekiranya ada permintaan daripada penduduk," katanya ketika ditemui hari ini.

Kedaifan Fauzi yang tinggal di warung tersebut kira-kira empat tahun lalu bagaimanapun, turut mendapat perhatian orang kampung yang sentiasa menghulurkan makanan dan minuman kepadanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Temalang/Teluk Tenggiri, Hassan Sulaiman turut mengakui warung yang menjadi tempat tinggal Fauzi itu sangat uzur dan setakat ini penduduk kampung telah mengumpul dana kira-kira RM1,000 untuk membaik pulih warung itu supaya lebih selesa untuk didiami.

Fauzi menunjukkan tempat tidurnya yang kerap terkena tempias air hujan di Kampung Temalang, Jitra hari ini.
Fauzi menunjukkan tempat tidurnya yang kerap terkena tempias air hujan di Kampung Temalang, Jitra hari ini.

"Sejak sebahagian dinding warung itu runtuh, air hujan akan tempias masuk ke ruang tidur Fauzi, ditambah pula bumbungnya rosak. Sangat tidak selesa untuk dia berteduh ketika ini.

"Kami tidak dapat membantu untuk memasukkan bekalan air atau elektrik ke sini memandangkan warung ini terletak atas tanah rizab MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda).

"Fauzi ini pula kurang sihat dari segi mental oleh sebab itu dia tidak dapat mencari kerja yang lebih baik. Kalau buat kerja di kampung pun kita kena bagi arahan satu persatu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga ketika ini sedang berusaha mendapatkan bantuan daripada mana-mana agensi berkaitan terutama dari segi bantuan bulanan.

Ruang memasak yang selalu digunakan oleh Fauzi sekiranya menerima bantuan makanan basah daripada penduduk kampung.
Ruang memasak yang selalu digunakan oleh Fauzi sekiranya menerima bantuan makanan basah daripada penduduk kampung.

Kepada mana-mana pihak yang ingin membantu atau memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Hassan di talian 013-5987039.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam, Azhar Ibrahim ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengenal pasti bantuan sesuai bagi membantu Fauzi supaya dapat meneruskan kehidupan lebih selesa.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!