83 mangsa ribut terima bantuan: Saifuddin

Saifuddin melawat mangsa yang terlibat dengan kejadian ribut di taman perumahan Indera Mahkota Dua petang semalam.
Saifuddin melawat mangsa yang terlibat dengan kejadian ribut di taman perumahan Indera Mahkota Dua petang semalam.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 83 mangsa ribut di perumahan Indera Mahkota Dua di sini sudah menerima bantuan kewangan daripada beberapa pihak bagi meringankan beban mereka.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau menjunjung kasih Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan melawat dan menghulurkan bantuan kepada mangsa ribut semalam.

Menurutnya, bagi pihaknya, beliau juga sudah menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa.

"Antara agensi kerajaan yang menyalurkan bantuan ialah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan serta beberapa pihak lain yang tampil menunaikan tanggungjawab masing-masing," katanya ketika turun padang melawat mangsa ribut semalam.

Penduduk sedang membaiki bumbung rumah yang rosak akibat ribut malam semalam.
Penduduk sedang membaiki bumbung rumah yang rosak akibat ribut malam semalam.

Hadir sama, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pasdec Makmur Indera Mahkota Dua, Rogayah Hassan.

Saifuddin yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, sokongan yang diberikan KRT Pasdex Makmur Indera Mahkota Dua dapat melancarkan lagi proses memberi bantuan kepada setiap mangsa.

"Diharap semua mangsa dapat bersabar dan reda dengan dugaan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, salah seorang mangsa ribut, Abdul Mubin Abdul Samad, 62, berkata, hampir keseluruhan bumbung rumahnya diterbangkan angin kencang yang berlaku kira-kira 7.30 malam semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas dan banyak rumah di taman perumahan ini mengalami kerosakan teruk.

"Saya terpaksa mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM5,000 untuk membaiki bumbung rumah yang rosak," katanya yang reda ujian yang menimpa keluarganya.