Amandaaa daddy sayang kamu!

Tangkap layar video rakyat Malaysia menyaksikan ahli keluarga mereka melambai-lambai di sebelah perairan negara di jeti Woodlands Waterfront Park pagi ini. - Bernama
Tangkap layar video rakyat Malaysia menyaksikan ahli keluarga mereka melambai-lambai di sebelah perairan negara di jeti Woodlands Waterfront Park pagi ini. - Bernama
A
A
A

SINGAPURA - [DIKEMASKINI] "Amandaaa... mommy... daddy sayang kamu!!". Itu antara jeritan yang memecah kesunyian jeti Woodlands Waterfront Park di sini pagi ini.

Jeritan itu datangnya daripada Syfiq, seorang rakyat Malaysia, sebaik ternampak anaknya melambai-lambai dari atas kapal layar di perairan Malaysia di Selat Johor.

Mereka terpisah sejak lapan bulan yang lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas bagi mengekang wabak koronavirus (Covid-19).

Amanda dan ibunya merupakan antara 20 keluarga yang terpilih menaiki kapal layar yang disediakan oleh pengurusan R&F Princess Cove bagi menyusuri sehampir mungkin dengan perairan Singapura.

Kapal itu yang memulakan pelayaran dari R&F Marina Yacht, Tanjung Puteri, Johor Bahru, memberi ruang kepada keluarga ini untuk “bertemu” dalam jarak kira-kira 600 meter.

Ini merupakan kali kedua R&F Princess Cove menyediakan peluang menaiki kapal layar tersebut menerusi kempen “Miss You My Love”.

Para peserta hanya perlu menghantar luahan perasaan mereka di laman Facebook R&F Princess Cove untuk ditapis oleh pihak pengurusan syarikat tersebut.

“Rasa nak menangis tapi perlu ‘control’ (kawal) lah,” kata Syfiq apabila ditanya perasaan beliau melihat anaknya dari kejauhan.

Artikel Berkaitan:

Syfiq yang bekerja di sebuah syarikat peruncitan antarabangsa hadir ditemani rakan senegara Nazim dan seorang warga Singapura Jasman di jeti tersebut.

Menurut Nazim, isterinya yang berada di Johor diberikan empat ruang di atas kapal layar tersebut.

“Selain isteri dan anak saya, ruang kami berikan kepada isteri Jasman yang juga rakyat Malaysia,” katanya.

Suasana di jeti tersebut tidak "seceria" matahari pagi sebaik jeritan kecil suara anak-anak mula memecah keheningan Selat Johor.

Esakan turut kedengaran dalam kalangan beberapa rakyat Malaysia lain yang turut hadir di jeti tersebut.

"Cannot (Tidak boleh) tahan," kedengaran suara seorang pemancing yang turut melahirkan kesayuan sebaik kapal layar mendekati sempadan perairan antarabangsa dan suara anak-anak kecil mula jelas kedengaran.

Bernama difahamkan kapal layar itu membuat empat pelayaran serupa hari ini. - Bernama