Semangat berpasukan tunjang kekuatan Tottenham

Mourinho (tengah) percaya kekuatan dibentuk dalam kalangan pemain Tottenham adalah hasil semangat kerjasama berpasukan.
Mourinho (tengah) percaya kekuatan dibentuk dalam kalangan pemain Tottenham adalah hasil semangat kerjasama berpasukan.
A
A
A

PENGENDALI Tottenham Hotspur, Jose Mourinho optimis anak buahnya akan beraksi sebagai satu pasukan bagi melakar kemenangan apabila berdepan Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Tottenham Hotspur.

Mourinho berkata, keyakinan itu disuarakannya setelah melihat sendiri aksi meyakinkan daripada kesebelasan pemain termasuk aksi yang dipamerkan pemain berstatus bintang dalam skuad berkenaan selama ini.

Menurutnya, kesemua itu memberikannya keyakinan bahawa skuad berkenaan akan sentiasa beraksi sebagai satu pasukan tanpa mengira situasi.

“Bagi saya tidak ada yang berubah kerana semuanya masih seperti hari pertama ketika saya mula berkhidmat di sini.

“Secara keseluruhannya bagi saya, yang paling penting di sini adalah pasukan kerana pasukan bukan hanya memerlukan pemain-pemain berbakat besar tetapi juga memerlukan pasukan untuk mempamerkan kehebatan masing-masing. Itulah Spurs sekarang.

“Sebagai contoh, ketika melalui saat getir terikat 3-3 berdepan West Ham United serta tewas kepada 0-1 Everton di laman sendiri sebelum ini, skuad ini masih kekal sebagai satu pasukan,” katanya.

Sejak mengendalikan Tottenham Hotspur pada November 2019, pengendali berusia 57 tahun itu berjaya mencatatkan beberapa keputusan yang memberangsangkan.

Tottenham Hotspur turut mencatatkan beberapa kejayaan termasuk kemenangan besar menewaskan Manchester United 6-1 di Old Trafford, 4 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mourinho yang akan melengkapkan tempoh setahun perkhidmatannya bersama Tottenham Hotspur bulan depan berbangga dengan pencapaian skuad kendaliannya berkenaan.

Katanya, Tottenham Hotspur menunjukkan perkembangan yang positif walaupun belum setahun mengemudi kelab berkenaan.

“Yang saya maksudkan dengan perkembangan adalah dari segi pergaulan, kehidupan dan persediaan untuk perlawanan seterusnya. Kesemuanya ini akan dibuat sebagai satu pasukan,” katanya.