Arsenal tekad akhiri badi kekalahan di Old Trafford

Mikel Arteta
Mikel Arteta
A
A
A

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta berhasrat menamatkan badi kekalahan selama 14 tahun di Old Trafford apabila berdepan Manchester United, awal pagi nanti.

Arteta berkata, kesebelasan The Gunners itu juga diharap bersedia merealisasikan hasrat berkenaan walaupun sebelum ini dikejutkan kekalahan 0-1 kepada Leicester City di Emirates, minggu lalu.

Bagaimanapun tambah Arteta, kemenangan 3-0 ke atas kelab Ireland, Dundalk FC dalam saingan Liga Europa, Khamis lalu diharap dapat menjadi pembakar semangat menjelang aksi berdepan The Red Devils itu.

“Rasanya sudah 14 tahun sejak Arsenal menang di Old Trafford dalam saingan EPL dan oleh itu bagi saya perlawanan ini adalah detik terbaik untuk mengulangi kemenangan berkenaan.

“Saya tidak terlalu menitik beratkan kepada aksi yang dipamerkan oleh pemain kerana anda semua dapat lihat bagaimana kami berkembang setakat ini,” katanya.

Kali terakhir Arsenal menang di Old Trafford adalah pada September 2006 apabila menewaskan United 1-0 menerusi jaringan penyerang sensasi, Emmanuel Adebayor.

Sementara itu, Arteta menyifatkan kunjungan Arsenal ke Old Trafford kali ini bakal menjanjikan keputusan positif setelah United dilihat gagal memenangi tiga perlawanan di gelanggang sendiri musim ini.

Malah, Arteta turut mengharapkan penyerang berbisanya, Pierre-Emerick Aubameyang dapat menemui semula sentuhan jaringannya setelah gagal menjaringkan sebarang gol dalam lima aksi EPL setakat ini.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ini kami tewas 1-3 kepada Liverpool serta 0-1 kepada Manchester City; namun dengan Leicester City ia agak berbeza kerana kerana The Foxes mempamerkan aksi cukup mantap.

“Tetapi kunjungan kami ke Old Trafford kali ini dengan azam baharu iaitu untuk cuba memenangi perlawanan dan terus meningkat untuk membuktikan kami dalam proses untuk muncul selaku kelab yang kuat,” katanya.