Belanjawan 2021: Kembalikan projek Pan Borneo di Sabah

Bung Moktar Radin
Bung Moktar Radin
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kerja Raya diharap dapat mengembalikan semula projek Pan Borneo kepada kerajaan Sabah menerusi pembentangan Belanjawan 2021 yang akan diadakan pada 6 November nanti.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, selain usaha memerangi pandemik koronavirus (Covid-19), beliau juga mahu pembangunan infrastruktur diketengahkan dalam belanjawan itu nanti.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, salah satu daripadanya adalah memohon supaya projek pembinaan lebuhraya Pan Borneo yang tergendala dapat diteruskan segera.

Menurutnya, JKR Sabah sedia memberikan kerjasama sepenuhnya demi memastikan kemudahan itu dapat dipercepatkan pelaksanaannya demi kepentingan rakyat di negeri ini.

"Selain itu, kerajaan negeri khususnya JKR meminta supaya kerajaan Persekutuan dan kementerian mengembalikan segera projek Pan Borneo kepada kerajaan negeri secepat mungkin.

"Pelantikan perunding pengurusan projek (PMC) dan sebagainya juga wajar dibincangkan bersama dengan kerajaan Sabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau dalam pada itu turut berharap kerajaan dapat menyediakan dana khas untuk pelaksanaan kerja pembaikan segera seperti cerun, jalan dan jambatan yang runtuh di mana sejak akhir-akhir ini berlaku kekerapan kerosakan infrastruktur itu berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu selain disebabkan banjir terutama di Kota Belud.

"Peruntukan khas ini juga digunakan untuk menambah baik sistem perparitan yang sedia ada selain membina sistem perparitan yang baharu bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku khususnya di kawasan bandar Kota Kinabalu dan sekitarnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berhubung bekalan air bersih di negeri ini, Bung Moktar berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan yang lebih tinggi untuk tujuan itu khususnya di luar bandar di Sabah yang masih berhadapan dengan isu ketiadaan bekalan air bersih.

Sehubungan itu, Bung Moktar berharap kerajaan Perikatan Nasional (PN) memperhalusi Belanjawan 2021 yang akan dibentang nanti supaya ia adil untuk semua tanpa mengira fahaman politik dan membawa negara keluar daripada kemelut wabak Covid-19 dan kemelesetan ekonomi sekali gus meningkatkan infrastruktur di Sabah.