Kebakaran kilang plastik punca pencemaran bau di Sungai Kuang

Beg activated carbon diletakkan untuk mengawal pencemaran di Sungai Kundang.
Beg activated carbon diletakkan untuk mengawal pencemaran di Sungai Kundang.
A
A
A

RAWANG - [KEMASKINI] Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sedang berusaha menangani pencemaran bau sekitar tiga ton di Sungai Kuang yang berpunca daripada sebuah kilang pemprosesan plastik yang terbakar semalam.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, siasatan awal mendapati sisa kebakaran tersebut telah membeku pada permukaan air dan ada yang mengalir masuk ke alur air di hulu Sungai Kuang yang menyebabkan kesan bau.

Menurutnya, jarak lokasi kejadian ke muka sauk loji rawatan air (LRA) terdekat iaitu Rantau Panjang dianggarkan sejauh 33 kilometer.

"Langkah awalnya bau dilakukan dengan meletakkan 43 beg activated carbon untuk mengawal pencemaran di Sungai Kundang (aliran masuk daripada Sungai Kuang) sekali gus mengelakkan bau dari sisa kebakaran tersebut mengalir sehingga ke Sungai Sembah seterusnya ke Sungai Selangor.

"Sehingga kini, LUAS, Air Selangor dan MPS dalam proses untuk menghentikan sisa kebakaran daripada mengalir ke dalam sungai melalui cadangan pembinaan ban tanah di lokasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sampel air yang diambil berhampiran lokasi pencemaran.
Sampel air yang diambil berhampiran lokasi pencemaran.

Beliau berkata, tiada henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) dan tiada gangguan bekalan air kepada pengguna dilaporkan setakat ini.

Katanya, LUAS juga akan mengeluarkan Perintah Perlindungan Air di bawah Seksyen 122, Enakmen LUAS 1999 kepada kilang terlibat berkenaan risiko dan ancaman insiden berkenaan kepada kualiti sumber air.

Artikel Berkaitan:

"Langkah mitigasi susulan dan pemantauan rapi dari semasa ke semasa dijalankan oleh LUAS bersama pihak-pihak terlibat.

"Kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan kelangsungan sumber air di Selangor dan menyeru kepada semua agar prihatin terhadap kawasan-kawasan sensitif sumber air negeri terutamanya sungai," katanya.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan menerima laporan kebakaran kilang berkeluasan 120,000 kaki persegi jam 6.21 petang semalam yang mengambil masa lebih lima jam untuk mengawal kebakaran.

Tujuh jentera terlibat dalam operasi pemadaman melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang, BBP Sungai Buloh, BBP Bestari Jaya, BBP Rawang, BBP Subang, BBP Sungai Pinang dan BBP Petaling Jaya.