Arul rekrut empat muka baharu

Arul Selvaraj
Arul Selvaraj
A
A
A

EMPAT pemain yang tidak pernah membuat penampilan bersama skuad Malaysian Tigers mendapat kepercayaan ketua jurulatih Arul Selvaraj untuk berada dalam senarai 30 pemain skuad senior lelaki negara.

Mereka ialah Muhamad Shafie Sahrom (penjaga gol), Zulpidaus Mizun (pertahanan), Pavandip Singh (tengah) dan Nur Rahul Hrisikesa Mohd Murni Tatchana (penyerang).

“Saya berani beri peluang kepada muka baharu untuk bersama pasukan kebangsaan walaupun mereka tidak dikenali kerana saya suka apa yang saya nampak dalam diri mereka iaitu komitmen, keinginan untuk terus maju, terutamanya penjaga gol Muhamad Shafie yang berani mengawal gawang. Dia memikat hati saya.

“Bagi pemilihan pemain lain pula, mereka dipilih berdasarkan etika kerja di dalam dan di luar padang, kesungguhan dan keberanian untuk terus berubah ke arah lebih baik. Itu fokus utama saya,” jelas Arul pada sidang akhbar secara dalam talian hari ini.

Penyerang sensasi Faizal Saari dikekalkan dalam skuad bimbingan Arul namun Fitri Saari tidak dipanggil ke fasa seterusnya ekoran prestasi yang ditonjolkan pemain itu masih belum memenuhi kriteria ditetapkan oleh jurulatih berkenaan.

“Saya ada bercakap dengan Fitri sebelum pemilihan mengenai apa yang saya mahu daripada dia dan apa yang dia boleh tawarkan. Saya rasa setakat ini, dari segi prestasi masih belum menangkap (memikat) hati saya. Setakat ini dia tidak meyakinkan saya yang kemampuannya untuk beraksi balik. Dia tidak ada dalam perancangan saya melainkan dia tunjuk ketangkasan pada Liga Hoki Kebangsaan nanti,” jelas Arul.

Arul berkata, pada masa ini beliau berpuas hati dengan senarai 30 pemain yang dipilih bagi semua posisi dan tidak sabar untuk memulakan kembali latihan pada 9 November ini.

Beliau juga percaya kesemua pemain tersebut akan menunjukkan disiplin dan motivasi yang tinggi untuk kembali menjalani latihan selepas diberikan cuti selama seminggu.

Artikel Berkaitan:

SENARAI PEMAIN MALAYSIAN TIGERS

Penjaga Gol:

Mohammad Hairi Abdul Rahman, Adrian Andy Albert, Muhamad Shafie Sahrom, Muhammad Hafizuddin Othman.

Pertahanan:

Muhammad Razie Abdul Rahim, Muhammad Marhan Mohd Jalil, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Muhammad Najib Abu Hassab, Syarman Mat Tee, Muhammad Arif Syafie Ishak, Muhammad Aminuddin Mohd Zain, Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad, Zulpidaus Mizun.

Tengah:

Faiz Helmi Jali, Meor Muhammad Azuan Hassan, Mohamad Ashran Hamsani, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Pavandip Singh, Muhamad Ramadan Rosli, Norsyafiq Sumantri, Muhammad Hafiz Zainol.

Penyerang:

Faizal Saari, Muhammad Shahril Saabah, Muhammad Nor Firdaus Rosdi, Muhammad Firhan Ashaari, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Muhammad Haziq Samsul, Nur Rahul Hrisikesa Mohd Murni Tatchana. - Bernama