Lebih 10,000 kompaun dikeluarkan sejak PKP

Noor Azam Jamaludin
Noor Azam Jamaludin
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor mengeluarkan 10,522 kompaun atas pelbagai kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 13 Mac lalu sehingga semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, bagi tempoh semalam sahaja, sebanyak 118 kompaun dikeluarkan atas beberapa kesalahan.

"Sejak PKP dikuatkuasakan, kesalahan utama yang dikesan ialah berkunjung ke pusat hiburan, terlibat kegiatan perjudian dan berkumpul beramai-ramai," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Noor Azam menasihatkan orang ramai supaya patuh kepada SOP yang ditetapkan dan kini telah memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Mereka perlu menggunakan pelitup muka, mematuhi penjarakkan fizikal, kerap membasuh tangan dan duduk di rumah jika tiada sebarang urusan penting. Sekiranya bergejala, segera dapatkan rawatan," katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 9 November ini.

Perkara berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas meneliti perkembangan semasa penularan koronavirus (Covid-19) di Lembah Klang.

Artikel Berkaitan: