Shabery Cheek bidas kenyataan Rais Yatim

Tangkap layar di Facebook Shabery Cheek yang mengulas kenyataan Rais Yatim.
Tangkap layar di Facebook Shabery Cheek yang mengulas kenyataan Rais Yatim.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meminta Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim supaya lebih beradab ketika berhujah berkenaan dengan hal perundangan negara.

Dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini, beliau turut mempersoalkan kewajaran tindakan Rais yang membawa perbincangan isu tersebut ke media sosial sedangkan Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan itu mempunyai jawatan di Dewan Negara.

“Kalau nak berhujah siapa betul dan siapa yang salah, biarlah beradab. Tak perlu melaungnya untuk didengar semua.

“Lebih-lebih lagi dalam struktur Parlimen kita, jarak Dewan Negara dan Yang di-Pertuan Agong sangatlah dekat,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, budaya masyarakat Melayu menganggap Raja itu seperti bapanya.

“Oleh itu, perintah dan larangannya tak boleh dilihat dari perspektif undang-undang semata-mata,” jelasnya.

Terdahulu, Rais menerusi ciapan di akaun Twitternya telah mempersoalkan berkenaan dengan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong ketika mengendalikan permohonan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat.

Menurutnya, titah Agong yang menolak permohonan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan darurat didapati bercanggah dengan Perkara 40 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan.

Pada Perkara 40 (1A) pula, ia menjelaskan Yang di-Pertuan Agong dikehendaki selepas mengikut nasihat atau selepas menimbangkan untuk menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Yang di-Pertuan Agong tolak cadangan darurat

Keputusan Agong adalah terbaik: Tok Mat