X

Kindly register in order to view this article
!

Kos pembedahan mata sudah cukup

Kegigihan Hanapiah yang menjual kuih-muih berhampiran Hospital Jitra bagi menampung kos pembedahan matanya memberikan inspirasi kepada orang ramai.
A
A

JITRA - Kos pembedahan mata sebanyak RM5,600 yang mahu dikumpul seorang warga emas telah cukup selepas kisahnya yang menjual kuih-muih berhampiran Hospital Jitra, dekat sini tular sejak beberapa hari lalu.

Keprihatinan rakyat Malaysia yang menderma kepada Hanapiah Mahmud, 76, yang tinggal di Gelong Rambai, Jitra bakal mempercepatkan lagi pembedahan kedua-dua belah matanya yang semakin kabur akibat masalah selaput mata.

Anak ketiga Hanapiah, Ahmad Nizar, 51 berkata, beliau menerima banyak panggilan dari seluruh negara bertanyakan tentang bapanya untuk mengetahui kebenaran sebelum mereka menderma dengan menyalurkan melalui akaun bank bapanya.

"Alhamdulillah wang dikumpul oleh bapa untuk kos pembedahan matanya sudah cukup dan kami akan ke hospital pakar di Sungai Petani untuk buat pemeriksaan pada 4 November ini.

"Terima kasih kepada mereka yang menderma dan hanya ALLAH SWT sahaja yang mampu membalas jasa mereka semua," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Artikel Sinar Harian 27 Oktober 2020.
Artikel Sinar Harian 27 Oktober 2020.

Ahmad Nizar berkata, selepas kisah bapanya disiarkan media, ramai juga pembeli tidak kira lapisan umur datang bertemu bapanya di lokasi menjual kuih-muih dan menghulurkan derma.

"Saya agak terkejut juga kerana panggilan tidak putus-putus diterima dari seluruh negara. Selepas ini kami sekeluarga akan menjual kuih-muih seperti biasa dan bapa pula akan berehat dulu selepas menjalani pembedahan matanya.

"Kami tidak akan menghalangnya untuk kembali menjual kuih selepas sembuh nanti kerana bapa sudah selesa begini. Bapa boleh bertemu penduduk setempat dan juga rakan-rakannya," katanya.

Pada Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan seorang warga emas mengambil inisiatif dengan menjual kuih-muih berhampiran Hospital Jitra di sini bagi mengumpul wang berjumlah RM5,600 untuk melakukan pembedahan matanya.

Hanapiah berkata, beliau mula mengumpul wang bagi membuang selaput di matanya selepas dimaklumkan oleh doktor.

Katanya, isterinya, Doyah Kasa, 70, akan bangun pada jam 3 pagi setiap hari untuk membuat kuih sebelum dijual pada jam 2 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas jual kuih demi kos bedah mata


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!