X

Kindly register in order to view this article
!

Felda Utd, UKM FC gagal lepasi penswastaan kelab

Stuart Ramalingam
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan bahawa Felda United dan UKM FC telah gagal dalam penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat berikutan kedudukan kewangan pelabur baharu untuk menampung kos pengendalian kedua-dua pasukan ini bagi saingan musim depan didapati tidak cukup kukuh.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, ia sekali gus turut menyebabkan Felda United dan UKM FC tidak layak untuk menyertai liga anjuran Malaysian Football League (MFL) bagi musim 2021, sama ada CIMB Liga Super atau Liga Premier.

Jelasnya, terdahulu setelah proses penswastaan FC bersyarikat berakhir pada 30 September 2020, FAM pada 5 Oktober 2020 mengumumkan status proses penswastaan FC bersyarikat kesemua 21 pasukan termasuk Felda United dan UKM FC.

"Walaupun Felda United dan UKM telah pun menyelesaikan proses penswastaan, perkembangan negatif pada masa itu berkaitan sokongan korporat dan pendanaan kedua-dua pasukan muncul dan memaksa FAM untuk meminta penjelasan dan dokumentasi lebih lanjut daripada setiap pasukan dan pengurusan baharu yang berhasrat mengambil alih pasukan Felda United dan UKM FC mengenai kedudukan semasa dan kewangan mereka yang perlu diserahkan kepada FAM selewat-lewatnya pada 19 Oktober 2020.

"Bagi Felda United, biarpun mereka berjaya melengkapkan proses penswastaan FC bersyarikat dan telah pun diluluskan, namun Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menerusi satu siaran media pada 5 Oktober 2020 menyatakan bahawa Felda United tidak akan menyertai CIMB Liga Super atau Liga Premier mulai musim 2021, " katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Stuart, susulan itu, pihak pengurusan baharu Felda United iaitu FUFC The Fighters Sdn Bhd telah mencari pelabur baharu tetapi selepas penelitian dibuat ke atas dokumen kewangan yang dikemukakan, FAM mendapati bahawa kedudukan kewangan pengurusan dan pelabur baharu tidak cukup kukuh untuk mereka mengharungi satu musim penuh liga pada 2021.

Bagi UKM FC pula kata Stuart, pada tarikh akhir iaitu 30 September 2020, FAM telah dimaklumkan oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bahawa mereka tidak akan bertanggungjawab terhadap urusan penggajian dan kewangan UKM FC.

"Susulan itu juga, pihak pengurusan baharu UKM FC iaitu Varsity Boys Sdn Bhd telah mendapatkan pelabur baharu tetapi selepas penelitian dibuat ke atas dokumen kewangan yang dikemukakan, FAM turut mendapati bahawa kedudukan kewangan Varsity Boys Sdn Bhd melalui pelabur baharu itu tidak cukup kukuh untuk mereka mengharungi satu musim penuh liga pada 2021," katanya.

Jelas Stuart lagi, FAM telah mengambil proses itu dengan serius bagi memberi peluang kepada kedua-dua pasukan tersebut mendapatkan pelabur yang baharu dalam memastikan kebajikan pemain dan pegawai pasukan terjamin.

Menurutnya, FAM membuat keputusan tersebut bagi mengelak permasalahan berkaitan gaji pemain dan pegawai yang mungkin berlaku lagi pada musim 2021 jika sesebuah pasukan itu didapati tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk bertahan sepanjang musim.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!