Jadual padat bakal ‘bunuh’ pemain

Thomas Tuchel
Thomas Tuchel
A
A
A

PENGENDALI Paris Saint Germain (PSG), Thomas Tuchel memberikan amaran bahawa kepadatan susunan jadual perlawanan bagi mengharungi saingan Ligue-1 dan juga saingan Liga Juara-Juara ketika ini bakal ‘membunuh’ pemain.

Tuchel berkata, kepadatan jadual berkenaan menyaksikan pemain tidak mempunyai banyak masa untuk menjalani proses pemulihan yang secukupnya kerana perlu bersedia pula untuk mengharungi perlawanan seterusnya.

Justeru, menurut Tuchel, perkara itu bukan lagi satu rahsia kerana ia memang benar-benar berlaku dalam industri sukan dan sesuatu perlu dilakukan bagi menanganinya.

“Kita bakal ‘bunuh’ pemain-pemain. Itulah yang selalu saya ketengahkan. Kita akan ‘bunuh’ mereka kerana dalam bola sepak ia memerlukan elemen-elemen penting seperti persediaan, persembahan dan rehat (pemulihan) tetapi, mereka (pemain) akan tetap beraksi walaupun pada ketika tempoh saingan liga berehat.

"Mereka mengikuti rombongan pasukan dan bagi saya ia nyata perkara yang begitu membebankan mereka kerana tidak cukup masa untuk melalui fasa pemulihan.

“Selain itu, kegagalan melakukan persiapan secukupnya akan mengakibatkan kecederaan dan seterusnya memberikan impak kepada persembahan dan dalam bola sepak, situasi ini sering berlaku kepada pemain-pemain hebat kerana mereka ini sering beraksi untuk negara masing-masing,” katanya.

Difahamkan, aksi berdepan Nantes dalam saingan Ligue-1 awal pagi tadi, adalah aksi kelima PSG dalam tempoh 16 hari.

Selain itu sebelum tempoh rehat nanti, PSG bakal berdepan RB Leipzig pada 5 November bagi saingan Liga Juara-Juara dan Rennes (8 November, Ligue-1) sebelum kembali beraksi dalam 10 perlawanan mulai 20 November hingga penghujung tahun.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan jadual, PSG akan berdepan Monaco pada 21 November, sebelum melayan kunjungan RB Leipzig pada 25 November bagi aksi Liga Juara-Juara, Bordeux (Ligue-1, 29 November), Manchester United (3 Disember / Liga Juara-Juara), Montpellier (Ligue-1, 6 Disember), Istanbul Basaksehir (9 Disember / Liga Juara-Juara), Lyon (Ligue-1, 14 Disember), Lorient (Ligue-1, 16 Disember), Lille (Ligue-1, 21 Disember) dan Strasbourg (Ligue-1, 23 Disember).

Sementara itu, Tuchel mengesahkan penyerang, Neymar mengalami kecederaan otot di sebalik kemenangan 2-0 ke atas Istanbul Basaksehir dalam saingan Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

“Sejujurnya, kami pulang dari Turki pada Khamis, dan Jumaat adalah hari kedua kami selepas perlawanan dan ia adalah hari yang paling berisiko untuk mendapat kecederaan.

“Sebenarnya bukan kami sahaja yang berdepan masalah ini tetapi pasukan-pasukan lain seperti Liverpool, Manchester City dan juga penyandang juara, Bayern Munich,” katanya.