Khairulamirin terpaksa pulang awal ke Malaysia

Khairul Amirin. Foto: FB Khairul Amirin
Khairul Amirin. Foto: FB Khairul Amirin
A
A
A

PELUMBA negara, Khairulamirin Yahaya, 18 akhirnya akur apabila terpaksa berlepas pulang ke Malaysia berikutan penularan wabak Covid-19 di Sepanyol setelah lebih sebulan menjalani latihan bagi menyertai Kejuaraan Supermoto Sepanyol.

Khairulamirin berkata, dia agak kecewa kejohanan itu dibatalkan menyebabkannya terpaksa pulang ke tanah air lebih awal daripada tarikh yang dijangkakan iaitu 16 November depan.

Bagaimanapun menurut Khairulamirin, dia tetap akur untuk pulang ke tanah air demi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku berikutan penularan pandemik Covid-19 di Sepanyol pada ketika ini.

“Saya kecewa kerana tidak bersaing untuk perlumbaan kali ini kerana ia adalah pusingan yang terakhir dan saya agak yakin untuk mengharungi perlumbaan berdasarkan kepada kedudukan saya dalam kelompok 10 pelumba terbaik dalam perlumbaan ini.

“Saya juga yakin untuk menyaingi pelumba-pelumba lain dalam kelompok hadapan mahu pun dalam kelompok yang besar. Namun saya perlu menerima hakikat bahawa perlumbaan telah pun dibatalkan kerana keadaan di Sepanyol kini semakin serius.

“Apa pun, saya tetap akur untuk pulang ke Malaysia, dan ucapan terima kasih kepada team Supermotoland Husqvarna di Bullas, Murcia yang banyak membantu persiapan latihan selama kami berada di sana,” katanya.

Sementara itu, Khairulamirin berkata, dengan pembatalan perlumbaan berkenaan dia akan terus menjalani latihan sebagai persiapan untuk mengharungi siri perlumbaan dalam kategori SM-Road 2021 kelak.

Katanya, dia akan berlatih dengan lebih kerap sebagai persiapan bagi mengharungi perlumbaan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Setelah Kejuaraan Supermoto Sepanyol dibatalkan, saya akan teruskan latihan saya di sini (Malaysia) dan bawah pengawasan dan kendalian Husqvarna.

“Saya juga tidak sabar untuk memulakan siri baharu perlumbaan di bawah kendalian mereka nanti,” katanya.